KUALA LUMPUR 20 Julai - Serapi Corner, salah satu restoran utama Serapi Group yang beroperasi lebih dari 20 tahun di bandar Kuching hari ini memeriahkan sambutan Hari Sarawak ke-60 bertemakan 'Sarawak Maju Makmur' dengan mengagihkan sebanyak 600 mangkuk Laksa Sarawak percuma kepada orang ramai.
Restoran itu memaklumkan, ia terkenal dengan hidangan khas masakan melayu yang autentik dan mendapat tempat di hati penduduk tempatan dan pelancong.
Katanya, Serapi Group juga mempunyai badan khidmat masyarakat yang dikenali sebagai Serapi Care, yang melaksanakan pelbagai program khidmat masyarakat untuk komuniti Kuching.
"Sebagai contoh, sebelum ini mereka menjalankan program dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, semasa Ramadan, dengan tujuan memberikan bantuan kepada keluarga yang memerlukan.
"Inisiatif ini membantu meringankan beban mereka dengan menyediakan bantuan makanan dan keperluan asas," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut kenyataan itu, Laksa Sarawak dipilih sebagai hidangan ikonik negeri ini, dan dengan menyediakan hidangan itu secara percuma, pihaknya ingin mempromosi dan memperkenalkan warisan makanan Sarawak kepada lebih ramai orang.



Tambahnya, pihaknya berharap dengan kerjasama dan sokongan masyarakat, mereka semua dapat bersama-sama membantu memajukan Sarawak menuju ke arah kemakmuran dan kemajuan yang
lebih besar. - DagangNews.com








