KUALA LUMPUR 6 Julai - RHB Investment Bank (IB) menyemak turun unjuran indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kepada 1,580 mata daripada 1,670 mata sebelum ini, mencerminkan persekitaran operasi akan datang yang kurang meyakinkan.
Penganalisisnya, Alexander Chia berkata, sentimen masih kekal rapuh, memandangkan pelbagai ancaman makroekonomi luaran dan dalaman, ditambah dengan kebimbangan politik dan kawal selia dalam negeri.
Malah, katanya, pembukaan semula ekonomi sudahpun diambil kira oleh pasaran, yang kini cuba untuk mencerna prospek pada separuh kedua yang kini terhalang dengan persekitaran makroekonomi dan perniagaan.
"Namun, kami belum lagi menganggap senario terburuk sebagai asas kepada kes. Tetapi ketidakpastian sejauh mana kelembapan dan ketiadaan risiko kenaikan harga yang jelas akan memastikan pelabur berhati-hati dan enggan mengambil pertaruhan besar, kerana penilaian hadapan mungkin tidak boleh dipercayai.
"Ini menunjukkan pelabur akan cenderung untuk memegang paras tunai dan aset cair lain yang lebih tinggi buat sementara waktu," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam penutupan petang semalam, FBM KLCI meningkat 3.29 mata untuk mengakhiri urus niaga pada 1,440.81 mata berbanding penutupan Isnin pada 1,437.52 mata.
Peningkatan ini didorong oleh aktiviti memburu saham berharga murah dalam kalangan saham yang terkurang nilai.
Bagaimanapun, pergerakan harga di pasaran secara keseluruhannya adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 423 berbalas 373, manakala 438 kaunter tidak berubah, 995 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.
Menurut Chia, ciri-ciri pelaburan utama yang perlu diberi tumpuan termasuk syarikat yang mempunyai lembaran imbangan yang mantap, kuasa penentuan harga, keupayaan untuk melalui kos yang lebih tinggi, asas pelanggan yang terkurung dan profil alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh.
"Kami juga melihat peluang terpilih dalam saham bermodal kecil. Kami 'overweight' terhadap pada sektor perbankan, institusi kewangan bukan bank (NBFI), minyak & gas, penjagaan kesihatan, bahan asas, permainan dan teknologi," jelasnya. - DagangNews.com








