Senheng tandatangani perjanjian taja jamin bagi 52.5 juta saham sempena terbitan IPO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Senheng tandatangani perjanjian taja jamin bagi 52.5 juta saham sempena terbitan IPO

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Peruncit elektrik dan elektronik (E&E) pengguna terkemuka Malaysia Senheng New Retail Berhad (Senheng) menandatangani perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn Bhd, CIMB Investment Bank Berhad dan AmInvestment Bank Berhad untuk menaja jamin sejumlah 52.5 juta saham bersempena dengan Tawaran Awam Permulaan (IPO) Kumpulan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Malaysia).

 

 

Pengerusi Eksekutif Senheng, Lim Kim Heng berkata, pelaksanaan IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 250 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 139.5 juta saham sedia ada. 

 

Ujarnya, daripada 250 juta saham baharu itu, 149.5 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur institusi dan terpilih, dan 48 juta saham akan ditempatkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

 

"Sebanyak 22.5 juta saham lagi akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah, pekerja dan individu yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan.

 

"Majlis hari ini menandakan peristiwa penting dalam perjalanan IPO kami, membawa Kumpulan selangkah lebih dekat untuk membolehkan orang ramai yang melabur dan mengambil bahagian dalam pertumbuhan kami.

 

"Kumpulan telah melalui beberapa transformasi sejak beberapa tahun, termasuk peralihan ke Model Runcit Baharu yang lancar, untuk memenuhi landskap pendigitalan pesat pengguna Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Tambahnya, hasil IPO yang akan diraih akan digunakan bagi membiayai strategi pertumbuhan Kumpulan untuk memenuhi trend pasaran masa depan melalui pembinaan kapasiti dan meningkatkan keupayaan operasi kami dan menambah baik pengalaman membeli-belah pelanggan.

 

"Inisiatif ini akan terus memacu pertumbuhan mampan Senheng pada masa hadapan, serta membolehkan kami terus memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik. 

 

"Ini juga akan mengukuhkan kedudukan pasaran kami dalam ruang runcit pengguna," katanya.

 

Kumpulan itu bercadang untuk menggunakan sebahagian besar hasil IPOnya untuk membiayai peningkatan pengalaman membeli-belah dalam kedai, melalui pembukaan kedai baharu dan menaik taraf kedai sedia ada kepada kedai konsep yang lebih besar. -DagangNews.com