Sektor REIT Malaysia diselubungi cabaran berterusan terhadap ruang pejabat dan runcit, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor REIT Malaysia diselubungi cabaran berterusan terhadap ruang pejabat dan runcit, kata Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 April - Sektor Real Estate Investment Trust (REIT) Malaysia masih diselubungi oleh lebihan bekalan yang berterusan, terutamanya dalam subsektor pejabat, kata Kenanga Research.

 

Bagaimanapun, katanya, terdapat peluang cerah secara selektif dalam segmen perindustrian yang berdaya tahan dan ruang runcit yang terletak di lokasi strategik.

 

Selain itu, REIT tempatan mungkin menghadapi masalah penilaian berikutan kadar faedah yang tinggi dan peningkatan inflasi, berkemungkinan mengehadkan prestasi harga saham mereka.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor REIT berikutan asas industri yang masih mencabar.

 

Walaupun dinamik industri masih mencabar, firma itu masih menyukai REIT berikutan peluang dalam segmen perniagaan yang betul terutamanya dalam industri dan runcit, serta pemilikan aset hartanah di lokasi utama dan strategik yang akan terus menyediakan aliran pendapatan sewa yang berdaya tahan.

 

Oleh itu, pilihan sektor firma tersebut adalah Pavilion REIT dengan penarafan ‘outperform’ pada harga sasaran (TP) RM1.43, menawarkan potensi pulangan sebanyak 15.8%, namun tetap berhati-hati terhadap Sentral REIT yang ‘underperform’ TP 79 sen.

 

Mengulas lanjut, firma itu memetik Laporan Pasaran Hartanah 2022 dikeluarkan baru-baru ini oleh Pusat Maklumat Harta Tanah (NAPIC) yang mendapati ketidakseimbangan bekalan dan permintaan terus membebankan terutamanya pada segmen pejabat dan runcit.

 

“Dalam data laporan yang dikumpul sehingga akhir 2022 itu, kadar penghunian ruang pejabat yang dibina khas adalah 78.5% berbanding 78.9% akhir 2021, manakala ruang runcit di kompleks membeli-belah adalah 75.4% berbanding 78.9%,” jelasnya.

 

Dari segi permintaan, berikutan penyambungan semula aktiviti ekonomi selepas wabak, kadar penggunaan untuk ruang pejabat dan runcit mungkin akan diredam berikutan prospek ekonomi yang bergelora dan kebimbangan inflasi meningkat, tambahnya.

 

Selain itu, kadar hasil 10 tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) juga dilihat mencabar berikutan kemerosotan sejak Oktober tahun lalu disebabkan jangkaan awal kadar faedah global mungkin telah memuncak.

 

"Namun, di tengah-tengah pergerakan yang tidak menentu, kami menganggap kadar faedah boleh kekal tinggi memandangkan persekitaran inflasi yang tinggi, mendorong kami untuk mengekalkan andaian hasil MGS 10 tahun pada 4.5% untuk pengiraan kadar hasil sasaran individu," katanya -DagangNews.com