Sektor perbankan dijangka raih manfaat daripada pemulihan ekonomi, kenaikan OPR | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor perbankan dijangka raih manfaat daripada pemulihan ekonomi, kenaikan OPR

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 3 Jan - Firma-firma penyelidikan optimis dengan prospek sektor perbankan berikutan pertumbuhan pembiayaan pada November 2021 yang kukuh meskipun mengambil langkah berhati-hati terhadap kemunculan varian Omicron yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan perkembangan monetari dan kewangan pada November 2021 yang dikeluarkan Jumaat lalu menunjukkan pertumbuhan pembiayaan bersih meningkat kepada 4.4% berbanding Oktober pada  4%.

 

Ini didorong oleh pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi pada November iaitu 4.3% manakala pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana pada 4.8%.

 

Pertumbuhan pinjaman isi rumah terkumpul meningkat kepada 4.1% berikutan pengeluaran pinjaman yang lebih tinggi untuk perbelanjaan kad kredit serta pembelian harta kediaman dan kereta penumpang.

 

Bagi sektor perniagaan pula, pertumbuhan pinjaman terkumpul meningkat kepada 4.8% berikutan pertumbuhan pinjaman modal kerja terkumpul yang berterusan. 

 

Dalam nota kajian hari ini, MIDF Research berkata, peningkatan pembiayaan kekal menjadi tumpuan tahun ini, berdasarkan nisbah pinjaman kepada deposit (LDR) yang longgar dan keseluruhan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), mencerminkan permintaan pembiayaan perniagaan yang lebih tinggi. 

 

Katanya, pertumbuhan bagi pembiayaan modal kerja meningkat pada November 2021 dan ia dijangka terus mencatat kadar pertumbuhan pada bulan-bulan berikutnya. 

 

"Di samping itu, kami juga tidak melihat banyak ancaman kepada kualiti aset berikutan program moratorium yang diberikan beberapa bank bagi membantu pelanggan yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.  

 

"Oleh itu, kami mengekalkan pandangan 'positif' terhadap prospek jangka panjang sektor perbankan, berdasarkan faedah berterusan pengoptimuman struktur yang dilaksanakan oleh bank, langkah pengoptimuman kos, usaha memperluaskan akaun simpanan akaun semasa (CASA) dan penstrukturan semula kunci kira-kira," jelasnya. 

 

Firma itu meletakkan Public Bank Bhd. dan Bank Islam Malaysia Bhd. sebagai pilihan utama dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) masing-masing pada RM5.10 dan RM3.49. 

 

Sementara itu, penganalisis CGS-CIMB, Winson Ng terus menilai sektor perbankan dengan pandangan 'overweight' dan menjangkakan ia akan merekodkan keuntungan bersih teras sebanyak 2.3%.

 

Katanya, sektor tersebut akan mendapat manfaat daripada pemulihan ekonomi dan jangkaan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata atas pada pertengahan tahun ini. 

 

"Kami juga mendapati statistik perbankan pada bulan tersebut bukan sahaja menunjukkan peningkatan berterusan dalam pertumbuhan pembiayaan tetapi juga bagi nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) daripada 1.52% pada akhir Oktober kepada 1.47% pada November 2021," katanya.

 
Jumlah pembiayaan yang berkembang 4% pada November juga melebihi jangkaan pertumbuhan 2021 yang diramalkan sekitar 2.5 hingga 3.5% berikutan pemulihan lebih kukuh dalam pertumbuhan pembiayaan perniagaan. 

 

"Kami positif dengan perkembangan ini kerana ia akan meningkatkan pendapatan faedah bersih (NIM) dan untung bersih bank. 

 

"Malah, peningkatan berterusan dalam pertumbuhan pembiayaan ini juga juga menunjukkan momentum kembali dalam paras nomal sekitar 4 hingga 5%, yang merupakan anggaran pertumbuhan pembiayaan kami bagi 2022," jelas beliau.

 

CGS-CIMB memilih Hong Leong Bank Bhd., Public Bank dan RHB Bank Bhd. sebagai pilihan dengan saranan 'tambah' pada TP masing-masing RM20.56, RM4.60 dan RM6.40.

 

Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua pula berkata, sektor perbankan dilihat berada di barisan hadapan dalam pemulihan ekonomi negara. 

 

Dengan mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor tersebut, firma itu memilih saham RHB Bank dan Alliance Bank Malaysia Bhd. dengan masing-masing diberi saranan 'outperform' dan TP pada RM6.50 dan RM3.25.

 

Bagaimanapun, beliau berkata, di sebalik prospek pemulihan dalam tempoh terdekat, sentimen dalam sektor ini terjejas dengan ketidaktentuan akibat varian baharu COVID-19.

 

"Selain itu, NIM juga akan menyaksikan berlakunya sedikit tekanan berikutan persaingan daripada pengetatan deposit, yang kemungkinan diledakkan dengan kemasukan perbankan digital pada suku pertama 2022 dan jangkaan kenaikan OPR pada separuh kedua 2022," jelasnya. - DagangNews.com