Segmen pembangunan hartanah WCT diunjur terus catat kerugian bagi 2HFY22 | DagangNews Skip to main content

Segmen pembangunan hartanah WCT diunjur terus catat kerugian bagi 2HFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Segmen pembangunan hartanah WCT Holdings Berhad diunjur terus mencatatkan kerugian bagi 2HFY22.

 

MIDF Research berkata, pada 2QFY22 segmen itu mencatatkan kerugian sebanyak RM11.8 juta.

 

WCT juga mennyemak turun sasaran jualan mereka menjadi lebih rendah daripada RM1 bilion kepada RM600 juta kerana penangguhan pelancaran beberapa projek akibat sentimen pasaran semasa, ketidaktentuan harga bahan mentah, semakan kadar faedah dan kekurangan tenaga kerja.

 

Penangguhan itu melibatkan Pavilion Mont Kiara, W City OUG dan W City JGCC dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM2.74 bilion.

 

"Satu-satunya projek yang berjaya dilancarkan tahun ini adalah Adenia Apartments di Klang. 

 

"Fokus utama kumpulan bagi 2HFY22 adalah untuk menjual inventori yang telah siap, bakinya ialah 501 unit dengan nilai pembangunan bersih RM433 juta. 

 

"Sebanyak 49% unit-unit berkenaan berada di Lembah Klang dan 51% berada di Johor," katanya dalam satu nota kajian, hari ini. 

 

Dari segi bank tanah untuk pembangunan masa hadapan, WCT memiliki kawasan seluas 86.6 hektar dengan 76.4 hektar untuk kegunaan pembangunan bercampur manakala 10.1 hektar bagi rumah kediaman.

 

Firma itu berkata, kadar penghunian pusat beli-belah WCT kekal stabil dan dijangka berkembang pada 3QFY22.

 

Kadar penghunian Bukit Tinggi Shopping Centre adalah 100% diikuti Paradigm Mall PJ (97%); Paradigm Mall JB (88%); gateway@klia2 (82%) dan Subang SkyPark (79%).

 

"Kadar kehadiran pengunjung berjaya mencatatkan peningkatan tetapi masih di bawah paras 2019 dan jumlah jualan di gateway@klia2 and Subang SkyPark juga meningkat sebanyak dua kali ganda," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) 57 sen sesaham. - DagangNews.com