Scientex cadang pengambilalihan tanah seluas 388 hektar bernilai RM547.7 juta di Tebrau | DagangNews Skip to main content

Scientex cadang pengambilalihan tanah seluas 388 hektar bernilai RM547.7 juta di Tebrau

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - Scientex Berhad (Scientex) bercadang untuk mengambil alih tanah pegangan bebas seluas 388 hektar di Tebrau, Johor Bahru dengan harga RM547.7 juta, seterusnya memperluaskan kehadirannya di perbandaran perumahan mampu milik di seluruh negeri itu.

 

Anak syarikat kumpulan itu, Scientex Lestari hari ini memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Pelangi Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat SP Setia Berhad.

 

Pengambilalihan tanah itu akan meluaskan jejak pembangunan hartanah Scientex di Johor, menjadikan enam perbandaran sedia ada yang terletak di Pasir Gudang, Kulai, Skudai, Senai, Pulai dan Kota Tinggi.

 

Kumpulan itu  bercadang untuk melancarkan projek pembangunan perbandaran campuran baharu di atas tanah itu dengan anggaran 12,000 rumah mampu milik akan dibina Nilai Pembangunan Kasar (GDV) projek itu masih belum ditentukan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin berkata, tanah tersebut adalah berhampiran pusat bandar Johor Bahru dan terletak di bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selain boleh diakses dari lebuh raya utama seperti Lebuhraya Senai Desaru.

 

“Johor mempunyai kepentingan yang besar sebagai titik permulaan untuk perjalanan kami dalam membangunkan rumah mampu milik, dengan enam perbandaran ditubuhkan setakat ini. 

 

"Pembangunan perbandaran campuran baharu di Tebrau adalah sejajar dengan visi kami untuk membina 50,000 rumah mampu milik di seluruh Semenanjung Malaysia menjelang 2028. 

 

"Pada 30 Jun 2023, kami telah mencapai pencapaian untuk menyampaikan 29,000 rumah yang mencerminkan kemajuan kami," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Cadangan pengambilaalihan tanah itu tertakluk kepada kelulusan Lembaga Tanah Ladang dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri Malaysia, dan jika perlu, kelulusan pemegang saham Scientex.

 

Pengambilalihan itu akan dibiayai oleh dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank, dengan sasaran siap untuk separuh pertama 2024. - DagangNews.com