KUALA LUMPUR 28 Feb - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pengawal Selia Sekuriti dan Bursa Kemboja (SERC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memudahkan kerjasama pengawalseliaan, penguatkuasaan dan penyeliaan yang lebih luas antara kedua-dua pengawal selia.
Ini berikutan globalisasi dan aktiviti rentas sempadan entiti/orang terkawal di kedua-dua negara yang semakin meningkat.
MoU tersebut yang meliputi bantuan penguatkuasaan rentas sempadan, kawal selia dan penyeliaan pengantara pasaran modal dan juga memudahcarakan maklumat pelesenan, akan mengukuhkan kerjasama dalam bidang kepentingan kawal selia bersama.
Di samping itu, MOU itu juga membincangkan pembangunan kapasiti dan modal insan, termasuk pertukaran kepakaran kawal selia dan pengetahuan teknikal, bagi memudahkan dan menggalakkan pembangunan pasaran modal masing-masing, seiring dengan pertumbuhan dan pembangunan berterusan kedua-dua pasaran modal Malaysia dan Kemboja.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, peningkatan kerjasama kawal selia antara pihak berkuasa menjadi penting apabila kesalinghubungan antara pasaran ASEAN berkembang.
"MoU ini meningkatkan hubungan dua hala antara kedua-dua pihak berkuasa dan akan memberi manfaat bersama dalam membangun dan mengawal selia pasaran modal masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pengarah SERC, Sou Socheat pula berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak berkuasa dilihat amat bernilai, dan menandakan hubungan kukuh yang dipercayai dan perkongsian pengalaman dalam pelbagai bidang terutamanya pengawalseliaan serta penyeliaan.
"Kedua-dua pasaran akan mendapat manfaat daripada kerjasama ini yang mewujudkan faedah jangka panjang untuk rakyat dan negara dalam globalisasi pasaran kewangan ini," katanya.
Terdahulu, MoU itu ditandatangani oleh Awang Adek dan Socheat, dengan kehadiran pengurusan kanan dari SC dan SERC.
Berikutan pemeteraian MoU itu, pegawai kanan SC dan SERC telah mengadakan perbincangan dua hala sebagai langkah pertama dalam meneroka objektif MoU untuk memudahkan pembangunan pasaran modal masing-masing.
Selain itu, bidang seperti perlindungan pelabur, pembangunan kapasiti dan penawaran dan pembangunan produk juga telah dibincangkan.
Dalam memajukan beberapa bidang ini, SC dan SERC bersetuju bahawa perundingan dengan peserta pasaran domestik akan membolehkan pihak berkepentingan menilai permintaan dan kebolehlaksanaan yang berkaitan. - DagangNews.com








