SC promosi pendidikan pelabur dan pembiayaan PKS di Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

SC promosi pendidikan pelabur dan pembiayaan PKS di Pulau Pinang

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Mei - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengadakan beberapa acara di Pulau Pinang minggu ini, yang merupakan sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan pendidikan pelabur di kawasan utara  serta meningkatkan kesedaran mengenai peluang pembiayaan pasaran modal.

 

Acara kemuncak adalah Bersama InvestSmart @Pulau Pinang 2023, iaitu pameran pendidikan pelabur utama SC yang pertama kali diadakan di negeri ini.

 

Acara yang berlangsung selama tiga hari mulai 26 Mei 2023, bertujuan untuk mempromosi pendidikan pelabur dan celik kewangan bagi membolehkan pelabur membuat keputusan pelaburan termaklum serta mengelakkan penipuan dan skim haram.

 

Bertemakan ‘Silap Labur Duit Lebur’, acara itu menampilkan lebih 35 peserta termasuk Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN), Bursa Malaysia Bhd, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM), Pentadbir Pencen Swasta (PPA) dan beberapa pemain industri pasaran kewangan serta modal.

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, Pulau Pinang dijangka memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan ekonomi negara dan pasaran modal.

 

"Pulau Pinang mempunyai beberapa syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia, dengan sebanyak 85 syarikat disenaraikan di Pasaran Utama, ACE dan Leap. 

 

"Sebuah lagi syarikat berpangkalan di Pulau Pinang juga dijangka akan disenaraikan secara umum sebelum akhir suku ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Awang Adek, menjelang akhir 2022, lebih 470 syarikat Pulau Pinang telah mengumpul lebih RM193 juta menggunakan platform kewangan alternatif seperti pembiayaan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan rakan sebaya (P2P). 

 

Oleh itu katanya, pihaknya percaya pasaran modal boleh memainkan peranan penting dalam merealisasikan potensi penuh ekonomi Pulau Pinang.

 

Tambah beliau, dengan menyediakan akses kepada pembiayaan dan peluang pelaburan, ia akan membolehkan pasaran modal membantu perniagaan tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan melengkapkan ekosistem ekonomi Pulau Pinang.

 

Selain Bersama InvestSmart @Penang 2023, SC juga telah menganjurkan program jangkauan lain di Pulau Pinang minggu ini.

 

Ini termasuk NaviGate: Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal (NaviGate) dan bengkel oleh Pasaran Modal Malaysia, badan-badan bersekutu SC, mengenai Gabungan Amalan Mampan dalam Rantaian Bekalan.

 

Lebih 15,000 pengunjung dijangka melawat InvestSmart di Pulau Pinang. Dalam acara tiga hari itu, ceramah umum percuma dan perbincangan panel oleh pakar industri pasaran kewangan dan modal akan dijalankan.

 

Pihak penganjur juga telah menyediakan lebih 200 sesi perancangan kewangan secara bersemuka dengan percuma untuk membantu orang ramai mengetahui lebih lanjut engenai perancangan kewangan dan persaraan yang baik. Sesi ini adalah sebahagian daripada inisiatif #FinPlan4U. - DagangNews.com