KUALA LUMPUR 7 Mac - Sarawak mendapat perhatian ramai di pentas Internationale Tourismus-Börse (ITB) Berlin 2024, Jerman sempena pelancaran transformatif kempen 'Gateway to Borneo' baru-baru ini bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah destinasi pelancongan unggul.
Selaras dengan tema ITB 2024, ‘Take Travel Technology to the Next Level. Together,’ Sarawak kini melalui era baharu dengan memberi penekanan kepada digitalisasi pelancongan dalam mempromosi pelbagai kebanggaan semula jadinya kepada seluruh dunia termasuk budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan festival.
Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) memaklumkan, kempen itu mengambil pendekatan ‘brand refresh’ yang strategik bagi mengetengahkan Sarawak sebagai pintu gerbang utama ke Pulau Borneo, merangkumi Kalimantan, Sabah, dan Brunei.
Katanya, kempen tersebut bertujuan meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan unggul, di samping menarik minat pelancong dari seluruh pelusuk dunia untuk mengunjungi dan melalui pelbagai pengalaman yang tersedia di Sarawak.
"Seiring dengan tema utama kempen ini adalah logo destinasi 'Sarawak More to Discover (SMTD)' yang melalui ‘brand refresh’ sebagai langkah menyegarkan pendekatan strategik pemasaran untuk terus menempatkan Sarawak sebagai sebuah destinasi kaya dengan kepelbagaian budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan, dan festival, bersama dengan pengalaman autentik yang sukar ditemui di mana-mana tempat lain di dunia.
"Logo baharu STMD mencerminkan visual hutan hujan tropika Sarawak, daya tarik air pesisirnya dan kepelbagaian kumpulan etniknya. Logo ini juga memaparkan ‘silhouette Rhinoceros hornbill’, yang menjadi simbol ikonik Sarawak, dikenali sebagai, 'Land of the Hornbills'," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, pihaknya sangat berbangga melancarkan evolusi naratif pelancongan Sarawak dengan kempen 'Gateway to Borneo'.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil bukan sekadar perbezaan geografik tetapi juga menampilkan estetik kontemporari dan kelestarian abadi, bersesuaian dengan selera pelancong antarabangsa.
"Langkah strategik ini jelas mempamerkan komitmen Sarawak kepada pendigitalan, malah menekan dan mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai pintu gerbang kepada pelbagai kekaguman yang tersedia di Borneo.
"Dengan sasaran 4 juta pelancong bagi tahun 2024, Kami menjemput seluruh dunia untuk melalui pengalaman serta menikmati kepelbagaian yang menanti di Sarawak, sebagai 'Gateway' ke suatu pengalaman dan penemuan baharu yang amat berinspirasi, alam semulajadi mengagumkan dan pengembaraan tanpa batas, menggabungkan aspek lampau serta pengalaman baharu dengan ungkapan 'So Much More to Discover'," katanya.

Menurut kenyataan itu, ITB Berlin juga menyaksikan STB memeterai memorandum persefahaman (MoU) baharu dengan Tischler Reisen (TR) untuk terus meningkatkan kedudukan Sarawak dalam kalangan pelancong Eropah.
Dengan rekod 40 tahun TR katanya dan rangkaian 600 agensi di seluruh Jerman, kerjasama itu bertujuan mempamerkan pelbagai pakej pelancongan secara dalam talian bagi menarik pelancong, terutamanya sasaran negara-negara Eropah.
"Peningkatan pelancong dari Eropah yang mencapai 121% pada tahun 2023 berbanding dengan tahun 2022, jelas mencerminkan daya tarikan yang semakin meningkat terhadap produk pelancongan Sarawak.
"Dengan pencapaian yang kukuh sebanyak 81.5% dari pencapaian 2019, tahun 2023 mempamerkan pencapaian terbaik kedatangan pelancong Eropah bagi Sarawak, selepas pandemik. Oleh itu, pada tahun 2024, Sarawak amat optimis untuk melepasi tahap kedatangan pelancong Eropah tahun 2019," katanya. - DagangNews.com








