KUALA LUMPUR 26 Julai - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menggesa Malaysia meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) secepat mungkin bagi mengukuhkan kembali kedudukan negara dalam rantaian bekalan global.
Pengerusi SAMENTA, Datuk William Ng berkata, gesaan tersebut dibuat berikutan penerbitan laporan analisis kos-faedah mengenai CPTPP daripada PricewaterhouseCoopers (PWC).
Beliau berkata, CPTPP secara konservatif akan meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 1.9% berbanding jika tidak meratifikasikan CPTPP.
"Walaupun Malaysia adalah antara penandatangan awal perjanjian tersebut, kita tidak dapat memanfaatkan kadar tarif dan layanan istimewa yang disetujui oleh CPTPP sehingga kita meratifikasi perjanjian tersebut.
"Sekiranya China dan United Kingdom (UK) menyertai CPTPP, KDNK kita dapat bertambah sebanyak 4.2% berbanding garis dasar. Ini adalah statistik yang cukup menyakinkan dan ekonomi negara akan rugi jika kita tidak menyertai pakatan perdagangan tersebut sedangkan kedua-dua negara China dan UK tidak sabar untuk berbuat demikian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut William, CPTPP ialah perjanjian perdagangan pelbagai hala yang berkualiti tinggi dan menangani isu perdagangan yang telah lama wujud seperti halangan bukan tarif (NTB).
"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) khususnya lebih terdedah kepada NTB, dan keupayaan kami untuk bersaing secara adil terhalang tanpa perjanjian perdagangan yang menangani isu tersebut," katanya.
Beliau berkata, kawalan pergerakan susulan pandemik COVID-19 dan kekangan pekerja yang teruk sekarang ini telah mengakibatkan penyertaan negara dalam rantaian bekalan global terganggu.
"Sektor ekonomi memerlukan semua sokongan yang boleh untuk mengukuhkan kembali kedudukan negara dalam rantaian bekalan global ini. Ratifikasi awal CPTPP akan dilihat sebagai isyarat kepada rakan dagangan negara bahawa Malaysia pro-perniagaan dan menyokong rejim perdagangan yang adil dan telus.
"Walaupun kami menyokong ratifikasi awal perjanjian, SAMENTA mengesa kerajaan untuk membantu PKS kami untuk bersedia menghadapi peningkatan pematuhan terutamanya dalam piawaian alam sekitar dan buruh," katanya.
Katanya, PKS memahami sebahagian daripada konsep alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), piawaian alam sekitar dan buruh semakin penting di pasaran global.
"Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan ekonomi maju seperti Kanada, PKS kami mungkin kurang bersedia. Tambahan pula, perbezaan dalam piawaian alam sekitar dan buruh antara negara Malaysia dan negara lain mungkin mewujudkan lapangan persaingan yang kurang adil untuk pengeksport dari Malaysia terutamanya PKS," katanya.
Tambahnya, sebagai persatuan PKS tertua di Malaysia, SAMENTA bersedia membantu kerajaan di dalam memastikan PKS kita bersedia dan dapat memanfaatkan CPTPP sepenuhnya. - DagangNews.com








