SAJI dinobat Jenama Terunggul Teratas oleh KANTAR | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SAJI dinobat Jenama Terunggul Teratas oleh KANTAR

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Julai - SAJI menerima pengiktirafan sebagai 'Jenama Terunggul Teratas dengan Pertambahan Pembeli Terbanyak pada 2022' daripada KANTAR, syarikat data pengguna, cerapan dan perunding terkemuka di dunia.

 

Menurut satu kenyataan media FGV Holdings Berhad hari ini, anugerah tersebut mengiktiraf kejayaan jenama produk makanan tempatan keluarannya itu meraih peningkatan bilangan pembeli di Malaysia sebanyak 5.4% bagi 2022.

 

Kumpulan itu berkata anugerah tersebut merupakan kejayaan kedua untuk SAJI setelah dinobatkan sebagai ‘Jenama Terpantas Berkembang Dekad Ini’ (Fastest Growing Brand of the Decade) pada tahun lalu, bagi perkembangan sebanyak 177% dalam indeks Titip Capaian Pengguna (CRP) antara tahun 2012 sehingga 2021 daripada 8.9 juta kepada 24.7 juta.

 

“Anugerah tersebut membuktikan kemajuan berterusan jenama SAJI, peningkatan dalam penerimaan pengguna serta perluasan pasaran produknya.

 

Sejak tahun 2000, SAJI telah menjadi pemain utama pasaran tempatan dengan mempelbagaikan jenis produk syarikat daripada minyak masak ke produk makanan lain seperti krimer, mi segera, sos masakan, santan dan lain-lain. Usaha ini telah menyumbang kepada penerimaan meluas pengguna dan kejayaan SAJI di pasaran,” katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata penerimaan anugerah berprestij dan pertumbuhan berterusan SAJI membuktikan komitmen kumpulan untuk menjadi syarikat makanan Malaysia terkemuka dengan visi memperkenalkan produk makanan dan tani yang lestari ke serata dunia.

 

"FGV berhasrat untuk mencapai matlamat syarikat bagi memastikan sekurang-kurangnya 50% barang masakan di dapur-dapur Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai produk keluaran FGV, menjelang tahun 2030," katanya pada majlis penyampaian anugerah itu di sini, hari ini.

 

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengarah Urusan, Malaysia & Thailand, Worldpanel Division Kantar Malaysia Sdn Bhd, Howard Chang kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Delima Oil Products Sdn. Bhd., Shammim Azad Kamruzaman berkata kejayaan SAJI adalah berkat sokongan pembeli setianya,

 

“Sebagai tanda berterima kasih, FGV akan melancarkan kempen ‘SAJI Terima Kasih Malaysia’ sebagai penghargaan kami kepada pembeli yang setia menyokong kami selama ini. Kempen ini bertujuan untuk mengukuhkan kenangan dan emosi yang dibawa jenama SAJI kepada pembeli setia bagi memupuk hubungan berkekalan,” katanya.

 

Kempen 'SAJI Terima Kasih Malaysia' akan dilancarkan pada Ogos 2023 bersempena Bulan Kebangsaan yang membawakan pelbagai tawaran menarik seperti promosi istimewa, diskaun produk, hadiah istimewa, tawaran eksklusif serta video-video menarik di media sosial. - DagangNews.com