Saiz pasaran modal Islam meningkat kepada RM2.32 trilion pada 2022 - SC | DagangNews Skip to main content

Saiz pasaran modal Islam meningkat kepada RM2.32 trilion pada 2022 - SC

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 27 Mac - Saiz pasaran modal Islam (ICM) meningkat kepada RM2.32 trilion pada akhir 2022, daripada RM2.31 trilion pada akhir 2021, menurut Laporan Tahunan 2022 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Nilai itu terdiri daripada jumlah permodalan pasaran bagi sekuriti patuh syariah sebanyak RM1.14 trilion, dan jumlah sukuk terkumpul berjumlah RM1.18 trilion.

 

ICM kekal sebagai komponen utama pasaran modal Malaysia, menyumbang 64.38% daripada jumlah saiznya.

 

Pada Disember 2022, sekuriti patuh syariah meningkat kepada 789, daripada 750 pada akhir 2021, yang merupakan 81.17% daripada 972 sekuriti tersenarai di Bursa Malaysia.

 

Permodalan pasaran sekuriti patuh syariah berjumlah RM1.14 trilion atau 65.58% daripada jumlah permodalan pasaran, menurun 5.46% berbanding akhir 2021.

 

Terbitan sukuk korporat mewakili 81.66% (2021: 79.98%) daripada jumlah terbitan bon korporat dan sukuk, manakala sukuk terkumpul korporat menyumbang 82.83% (2021: 81.42%) daripada jumlah bon korporat dan sukuk terkumpul.

 

Jumlah terbitan sukuk pada 2022 mewakili 68.23% (2021: 62.91%) daripada jumlah terbitan bon dan sukuk, manakala jumlah sukuk terkumpul mewakili 63.27% (2021: 63.43%) daripada jumlah bon dan sukuk terkumpul.

 

Tujuh penerbit menerbitkan sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) pada 2022, menjadikan jumlah penerbit sukuk SRI kepada 25 sejak 2015.

 

Terbitan sukuk SRI korporat pada 2022 berjumlah RM10.58 bilion, iaitu 8.45% daripada jumlah terbitan sukuk korporat, manakala sukuk SRI korporat terkumpul meningkat kepada RM17.93 bilion pada Disember 2022, daripada RM8.11 bilion pada 2021, membentuk 2.69% daripada jumlah sukuk korporat terkumpul.

 

Aset Islam di bawah pengurusan pada Disember 2022 berjumlah RM205.86 bilion, mencatatkan penurunan 8.43% daripada RM224.80 bilion pada akhir 2021.

 

Bilangan skim pelaburan kolektif Islam, dana unit amanah, dana borong, skim persaraan swasta, amanah pelaburan hartanah dan dana dagangan bursa berjumlah 404 setakat Disember 2022, termasuk 20 dana SRI Islam.

 

Sementara itu, terdapat 57 syarikat pengurusan dana (FMC) menguruskan dana Islam, dengan 24 syarikat pengurusan dana Islam dan 33 FMC menawarkan tingkap Islamik pada Disember 2022. - DagangNews.com