Saham Keyfield catat premium 89% pada penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Saham Keyfield catat premium 89% pada penampilan sulung di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 April - Keyfield International Bhd membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada premuim 89% sebanyak RM1.70 sesaham, berbanding tawaran awam permulaan (IPO) 90 sen sesaham.

 

Pada loceng pembukaan, kaunter saham itu menyaksikan 18.66 juta saham bertukar tangan.

 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Darren Kee Chit Huei berkata, harga pembukaan mengesahkan lebihan langganan sahamnya yang menunjukkan keyakinan orang ramai yang melabur dalam Keyfield dan industri kapal sokongan luar pesisir, terutamanya bagi kapal-kapal penginapan.

 

Beliau berkata, dana yang diperoleh akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman syarikat selain membantu membuka peluang pertumbuhan pada masa hadapan.

 

“Lonjakan dalam aktiviti luar pesisir ditambah dengan bekalan terhad kapal yang sesuai dalam industri, memberi petanda baik untuk pemain-pemain industri kapal penginapan luar pesisir tempatan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keyfield lapor untung bersih FY23 meningkat 115.7% didorong kadar penggunaan kapal lebih tinggi

 

"Dengan armada kami yang terdiri daripada 11 kapal dan akses kepada kapal-kapal pihak ketiga, kumpulan ini berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong industri minyak dan gas tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Penyenaraian itu berjaya mengumpul RM188.1 juta, dengan RM61.5 juta atau 32.7% akan digunakan untuk menebus saham-saham keutamaan tidak boleh tukar boleh tebus kumulatif Keyfield (CRNCPS).

 

 

iktisad

 

 

Kumpulan itu memperuntukkan RM65 juta dan RM35 juta bagi menjelaskan baki pembayaran dua kapal, iaitu Blooming Wisdom dan Keyfield Helms 1 manakala RM26.6 juta untuk membayar balik pinjaman bank, modal kerja dan perbelanjaan berkaitan penyenaraian. 

 

Darren berkata, kumpulan itu tidak akan menghadapi kesan langsung daripada ketegangan geopolitik semasa di Asia Barat kerana mereka beroperasi sepenuhnya di Asia Tenggara.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Keyfield berkembang tepat pada masanya, Kenanga Research mula liputan dengan saranan Outperform

 

“Buat masa ini semua pendapatan kami diperoleh dari Malaysia dan sebahagiannya berhampiran Thailand, jadi saya rasa ketegangan geopolitik di Asia Barat tidak akan memberi kesan langsung kepada kami.

 

“Sekiranya berlaku krisis besar hingga berperang, ia sudah tentu akan menjejaskan keseluruhan pasaran dan ini adalah sesuatu yang perlu kita hadapi, tetapi dari segi kerja, tidak ada pesanan kerja yang dibatalkan kerana semua pelanggan kami (berada) di rantau ini," katanya.

 

M&A Securities Sdn Bhd ialah penasihat utama dan penaja jamin untuk IPO Keyfield. Ia juga merupakan ejen penempatan bersama dengan Maybank Investment Bank Bhd. - DagangNews.com