Sahabat Usahawan AIM raih pendapatan RM30,000 sebulan jual kerepek | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sahabat Usahawan AIM raih pendapatan RM30,000 sebulan jual kerepek

Norzamira Zakaria menunjukkan kerepek yang dihasilkan sendiri untuk dijual kepada pembeli.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Okt - Hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih.

 

Itu peribahasa yang sesuai bagi menggambarkan kegigihan seorang wanita yang tidak malu untuk berniaga kuih dari rumah ke rumah dan pasar malam demi membantu orang tuanya sejak berusia 18 tahun. 

 

Bermula hanya berniaga di pasar malam dengan pendapatan sebulan sebanyak RM600, kini dia telah meraih pendapatan sejumlah RM30,000 hasil jualan kerepek sebanyak RM200,000.

 

Norzamira Zakaria, 40, berkata, sebaik sahaja tamat persekolahan di tingkatan 5, dia terus mengambil lesen memandu untuk memudahkan dia berniaga kuih dan kerepek di pasar malam sekitar Kedah dan Pulau Pinang dengan menggunakan sebuah van lama.

 

Menurutnya, pada mulanya dia hanya menjual kuih yang dihasilkan oleh ibunya, Akiah Abu Bakar yang kini berusia 70 tahun dan membeli pelbagai jenis kerepek daripada pembekal lain.


 
"Ketika berniaga pasar malam pendapatan saya cuma kira-kira RM600 sebulan, untuk menambah pendapatan dan menjaga kualiti serta rasa kerepek, saya mula terfikir untuk cuba buat produk (kerepek). 

 

"Dan apabila saya sendiri yang membuatnya, pernah tidak menjadi dua tiga kali,  tapi saya tak pernah putus asa. Ibu saya banyak memberi dorongan supaya saya terus buat dan buat. 

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

"Akhirnya saya berjaya hasilkan kerepek ubi, kerepek bawang, karipap mini, kuih tiram, kerepek gunting, dan pelbagai jenis keropok dengan resepi sendiri," katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Raga di Kedah. 

 

Mengulas lanjut, ibu kepada dua orang anak ini berkata, untuk memajukan perniagaan dia mendengar nasihat ibunya agar membuat pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). 

 

Katanya, sebagai permulaan dia membuat pinjaman sebanyak RM3,000 untuk memperbesarkan bengkel di tepi rumahnya pada tahun 2016.

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

"Selepas membuat pnjaman sebanyak RM3,000, saya terus tambah lagi pinjaman hinggalah pinjaman maksimum RM30,000. Sejak itu perniagaan saya semakin maju dan saya mula menggaji lebih ramai pekerja. 

 

"Sekarang saya sudah ada 20 pekerja yang terdiri daripada anak-anak tempatan. Saya juga sudah menyewa dua lot kedai di tepi jalan untuk menjual 30 jenis kuih dan kerepek pelbagai perisa. 

 

"Saya namakan syarikat saya sebagai Kenari Bangkit Enterprise sempena kuih bangkit yang dihasilkan ibu saya sebelum ini," katanya. 

 

 

AIM

 

 

AIM

 

 

Norzamira berkata, kedai itu turut menjual pelbagai jenis kerepek dan kuih yang diusahakan oleh adik-beradiknya dengan harga yang lebih murah bertanding tempat lain. 

 

Tambahnya, dia sangat berterima kasih dengan AIM yang banyak membantu dan memudahkan urusannya untuk membuat pinjaman sehingga dia berjaya dalam perniagaan. 

 

 

AIM

 

 

"Pendapatan bulanan saya sekarang kira-kira RM30,000 sebulan, dengan jualan kerepek sebanyak 70 tan atau RM200,000. Pelanggan saya datang dari negeri-negeri di utara dan permintaan selalunya akan meningkat sekali ganda menjelang hari raya dan musim cuti sekolah," katanya. - DagangNews.com