KOTA KINABALU 1 Dis - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah memaklumkan dua syarikat minyak iaitu SEA Hibiscus Sdn. Bhd. (SEA Hibiscus) dan Repsol Oil and Gas Ltd (REPSOL) telah membayar tunggakan Cukai Jualan Negeri (SST) berjumlah RM79.41 juta pada 3 Oktober lalu.
Dalam laporan Bernama, Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, SEA Hibiscus membayar tunggakan SST berjumlah RM70.05 juta manakala REPSOL (RM9.36 juta), dan dengan pembayaran tunggakan tersebut, kedua-dua syarikat minyak berkenaan tidak lagi mempunyai hutang SST.
“Kedua-dua pihak syarikat juga sekarang telah mula membuat bayaran bagi cukai semasa,” katanya menjawab soalan lisan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-Dilantik) yang ingin tahu berapa hutang SST REPSOL dan SEA Hibiscus sehingga Oktober tahun ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Assaffal P. Alian (Warisan-Tungku) yang mahu tahu apakah sebab kelewatan pembayaran SST daripada kedua-dua syarikat berkenaan sebelum ini.
Masidi menjelaskan, terdapat isu perundangan dipertikaikan oleh syarikat terbabit, namun, kerajaan Sabah telah memberi pandangan sebaliknya.
Ini termasuk memaklumkan bahawa kerajaan Sabah tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa penuh perundangan dan perlembagaan yang ada pada negeri itu untuk melaksanakan tuntutan SST ke atas syarikat tersebut.
“Alhamdulillah, pihak syarikat telah mengambil jalan untuk menyelesaikannya secara baik dan akur kepada tuntutan yang dibuat oleh kerajaan negeri. Saya sudah menganggap mereka ini (sebagai) rakan kita untuk membangun Sabah dengan persetujuan membayar cukai jualan,” jelasnya. - DagangNews.com








