Rumah Terbuka PM catat sejarah, lebih 100,000 hadir | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rumah Terbuka PM catat sejarah, lebih 100,000 hadir

Gambar FB Ruhaidini Abd Kadir
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PUTRAJAYA 9 Mei - Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri 2022 di Seri Perdana di sini mencatatkan sejarah apabila lebih 100,000 pengunjung direkodkan telah hadir semalam.

 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ciapan di Twitter memaklumkan, pengunjung beratur panjang dua jam awal sebelum majlis yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi.

 

"Walaupun bermula jam 10 pagi, namun ada yang sudah beratur dua jam sebelum itu.

 

"Bilangan ahli Keluarga Malaysia yang hadir melebihi 100,000, satu angka yang belum pernah tercatat dalam jamuan Rumah Terbuka Aidilfitri," katanya.

 

Menurut Ismail Sabri, beliau cukup seronok bertemu dengan Keluarga Malaysia yang pelbagai  kaum dan warna kulit berkumpul menikmati juadah bersama-sama sebagai sebuah keluarga.

 

"Terima kasih semua, kerana sudi hadir untuk beraya bersama-sama. Sungguh, ia satu memori yang amat bermakna kepada saya yang pasti saya ingati sampai bila-bila. 

 

"Selamat Hari Raya… Maaf Zahir dan Batin…." katanya.

 

 

PM

 

 

PM

 

 

Majlis bertemakan 'Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri' itu merupakan rumah terbuka pertama Ismail Sabri selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021, serta barisan Kabinet beliau.

 

Mengikut anggaran awal, dijangka lebih 70,000 pengunjung dan tetamu menghadiri majlis rumah terbuka itu. 

 

 

PM

 

 

PM

 

 

Kali terakhir rumah terbuka itu diadakan adalah pada 5 Jun 2019 di Seri Perdana dan dihoskan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan Kabinet beliau. 

 

Selepas itu ia tidak dapat diadakan selama dua tahun ekoran pandemik COVID-19. - DagangNews.com