Ronald McDonald House Charities kumpul dana RM500,000 untuk program kembali ke sekolah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ronald McDonald House Charities kumpul dana RM500,000 untuk program kembali ke sekolah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Sept - Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia hari ini menganjurkan Kejohanan Golf Amal 2022 di Tropicana Golf and Country Resort untuk mengumpul dana bagi program 'Kembali ke Sekolah'. 

 

Acara itu berjaya mengumpul hampir RM500,000 untuk program itu, yang merupakan jumlah tertinggi pernah dikumpul sejak kejohanan golf bermula.

 

Dana yang dikumpul akan menjadi sebahagian daripada keperluan sekolah bernilai RM1.5 juta untuk diagihkan kepada pelajar sekolah rendah daripada keluarga B40 dan kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh Malaysia.

 

Kejohanan golf tahunan yang kini dalam edisi ke-29, memberi tumpuan kepada mengumpul dana untuk membantu kanak-kanak dan keluarga mereka yang memerlukan. 

 

RMHC Malaysia berhasrat untuk memperbaiki kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik, sejajar dengan teras kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

 

Presiden RMHC Malaysia merangkap Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, mereka berharap pengagihan pek sekolah itu dapat meringankan beban kewangan keluarga kanak-kanak, ketika permulaan tahun persekolahan baharu bermula. 

 

"Kanak-kanak ini layak memulakan tahun persekolahan baharu dengan kegembiraan, keterujaan, dan motivasi. RMHC Malaysia percaya bahawa pendidikan adalah hak asasi setiap kanak-kanak. 

 

 

mcd

 

 

"Dengan bantuan kewangan dalam bentuk pek sekolah ini, anak-anak dapat menumpukan perhatian kepada pendidikan dan terus mengasah kreativiti dan pengetahuan mereka untuk mencapai potensi sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, kehidupan setiap kanak-kanak adalah penting dan RMHC Malaysia berusaha untuk membantu seramai mungkin keluarga yang kurang bernasib baik dalam meningkatkan kesihatan anak-anak mereka. 

 

"Kami berharap dana itu dapat meringankan beban kewangan keluarga di samping memenuhi keperluan perubatan mereka,” katanya.

 

 

mcd

 

 

Sehingga tahun lepas, hampir RM10 juta telah dikumpul untuk program ‘Kembali ke Sekolah’, yang telah memberi impak positif kepada kehidupan lebih 100,000 kanak-kanak di seluruh negara.

 

Majlis tahun ini lebih istimewa dengan penyampaian geran perubatan kepada empat tabung kebajikan di hospital terpilih iaitu Yayasan Institut Jantung Negara (IJN), Hospital Tabung Pesakit Universiti Sains Malaysia (HUSM), Hospital Tabung Pesakit Tunku Azizah (HTA) dan Tabung Pesakit Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). 

 

Geran itu akan diberikan kepada kanak-kanak berumur dari 1 hingga 18 tahun, yang memerlukan bantuan kewangan untuk menjalani rawatan perubatan, atau untuk membeli peralatan perubatan atau ubat.

 

RMHC Malaysia telah menyediakan geran perubatan kepada dana kebajikan kanak-kanak sejak 2018, berjumlah kira-kira RM470,000 setakat ini. - DagangNews.com