Rizab mata wang asing BNM pada 31 Julai 2024 naik ke paras tertinggi 16 bulan - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rizab mata wang asing BNM pada 31 Julai 2024 naik ke paras tertinggi 16 bulan - Kenanga Research

Rizab mata wang asing BNM berada pada AS$102.4 bilion pada 31 Julai 2024. -Gambar hiasan Freepik
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Rizab mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 16 bulan setelah data terbaharu bank pusat itu menunjukkan ia mencecah AS$102.4 bilion pada 31 Julai 2024.

 

Kenanga Research berkata, rizab mata wang asing naik AS$0.8 bilion atau 0.8% bulan ke bulan (MoM) kepada AS$102.4 bilion pada 31 Julai 2024.

 

Kata firma penyelidikan itu, peningkatan ini disokong oleh aliran masuk asing yang signifikan (RM9.1 bilion) dari pasaran modal dan mungkin juga pemulangan hasil eksport yang lebih tinggi. 

 

 

"Perlu diperhatikan bahawa rizab mata wang asing bersih BNM mengalami kenaikan marginal kepada AS$59.1 bilion pada bulan Jun (berbanding AS$58.4 bilion pada bulan Mei)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, Rizab Antarabangsa BNM yang diekodkan pada 31 Julai lalu meningkat untuk bulan ketiga berturut-turut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Rizab antarabangsa BNM naik kepada AS$114.7 bilion pada 31 Julai 2024

 

Menurutnya, ia naik sebanyak AS$0.9 bilion atau 0.8% bulan ke bulan, mencapai RM114.7 bilion pada 31 Julai 2024.

 

"Tahap ini mencukupi untuk membiayai 5.5 bulan import barangan dan perkhidmatan dan bersamaan dengan 1.0 kali jumlah hutang jangka pendek luar negara. 

 

"Kenaikan ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam rizab mata wang asing, yang dipacu oleh aliran masuk modal yang besar," jelasnya.

 

Sementara itu, kata Kenana Research, short position dalam pertukaran mata wang (FX) melonjak ke paras rekod tertinggi iaitu AS$28.0 bilion, menunjukkan kemungkinan campur tangan dalam pertukaran mata wang.

 

"Rizab dalam bentuk emas, hak pengeluaran khas, aset rezab lain, dan kedudukan rezab IMF kekal relatif tidak berubah.

 

"Dalam istilah ringgit, nilai rezab BNM mencapai paras tertinggi baru iaitu RM541.3 bilion (+RM4.0 bilion atau 0.7% bulan ke bulan)," ujarnya. - DagangNews.com