Rizab antarabangsa BNM susut kepada AS$113.4 bilion pada 15 Mac 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rizab antarabangsa BNM susut kepada AS$113.4 bilion pada 15 Mac 2024

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mac - Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) setakat 15 Mac 2024 berjumlah AS$113.4 bilion berbanding AS$114.3 bilion pada 29 Februari 2024.

 

Bank pusat itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, paras rizab tersebut memadai untuk membiayai 5.4 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan satu kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.

 

Komponen utama rizab antarabangsa merangkumi rizab mata wang asing berjumlah AS$100.8 bilion, diikuti kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.4 bilion), hak pengeluaran khas [SDR] (AS$5.8 bilion), emas (AS$2.6 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.8 bilion).

 

Jumlah aset berjumlah RM620.64 bilion, terdiri daripada emas dan pertukaran asing, serta rizab lain termasuk SDR (RM520.33 bilion), kertas kerajaan Malaysia (RM13 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.44 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM24.55 bilion), tanah dan bangunan (RM4.13 bilion) dan aset-aset lain (RM56.19 bilion).

 

Sementara itu, modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM189.39 bilion), mata wang dalam edaran (RM168 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM150.93 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM9.05 bilion), deposit lain (RM39.89 bilion), kertas Bank Negara (RM29.8 bilion), peruntukan SDR (RM29.74 bilion) dan liabiliti-liabiliti lain (RM3.73 bilion). - DagangNews.com