KUALA LUMPUR 18 Ogos - Ringgit telah mula meningkat 1.1% dalam tempoh suku ketiga setakat 15 Ogos 2023, selepas jatuh 5.8% pada suku kedua berikutan jangkaan pasaran bahawa pengetatan dasar monetari yang agresif di Amerika Syarikat (AS) hampir berakhir.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata perkembangan global terus menjadi faktor utama yang mendorong keadaan kewangan domestik pada suku kedua 2023.
“Sejajar dengan jangkaan pelabur terhadap pengetatan dasar monetari yang lebih agresif di AS dan ekonomi maju lain sepanjang separuh pertama tahun ini, ringgit telah menyusut sebanyak 4.7% berbanding dolar AS setakat ini.
“Bagaimanapun, baru-baru ini, ringgit meningkat sebanyak 1.1% berbanding dolar AS sejak suku kedua 2023.
“Kadar pertukaran efektif nominal ringgit (NEER), yang mengukur prestasi ringgit berbanding rakan dagangan utama kami, juga meningkat 1.6%, berikutan jangkaan pasaran keseluruhan bahawa kempen mengetatkan dasar monetari yang agresif di AS hampir berakhir,” ujar beliau.
Abdul Rasheed berkata BNM akan terus memantau keadaan kewangan global dan domestik dengan teliti serta memastikan pelarasan pasaran kekal teratur.

Tambahnya, keberadaan BNM dalam pasaran pertukaran asing adalah untuk membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan.
“Oleh itu, BNM akan terus menguruskan risiko yang timbul daripada sebarang ketidaktentuan pasaran kewangan yang meningkat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan menjadi sederhana kepada 3.8% (suku pertama 2023: 4.1%) kerana pertumbuhan pinjaman perniagaan terkumpul yang lebih perlahan sebanyak 0.7%, berikutan pertumbuhan yang lebih rendah dalam pinjaman modal kerja kepada syarikat bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Sementara itu, pertumbuhan bon korporat terkumpul meningkat kepada 4.9% (suku pertama 2023: 4.4%).
Bagaimanapun, pertumbuhan pinjaman berkaitan pelaburan kekal mampan, dengan mencatatkan pertumbuhan yang stabil bagi pembelian aset tetap dan hartanah bukan kediaman.
Bagi isi rumah, pinjaman terkumpul berkembang 5.1% didorong terutamanya oleh pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman dan kereta. - DagangNews.com








