Ringgit satu-satunya mata wang Asia naik berbanding dolar AS pada 2024 - Standard Chartered | DagangNews Skip to main content

Ringgit satu-satunya mata wang Asia naik berbanding dolar AS pada 2024 - Standard Chartered

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Ekonomi Malaysia diberi penarafan 'Outerperformer' atau berprestasi tinggi oleh Standard Chartered dalam penyelidikan global terbaharu yang diterbitkan 1 Ogos 2024.

 

Paling ketara, Standard Chartered berkata, Ringgit adalah satu-satunya mata wang Asia yang telah meningkat berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh sepanjang tahun ni (YTD).

 

Sehubungan itu, bank tersebut mengekalkan pandangan bahawa Ringgit akan kekal sebagai mata wang yang terbaik di rantau ini.

 

 

"Setakat ini YTD, Ringgit adalah satu-satunya mata wang Asia yang telah meningkat berbanding dolar AS.

 

"Penglibatan pihak berkuasa dengan badan-badan berkaitan untuk menggalakkan membawa pulang modal, penukaran dan lindung nilai hasil mata wang asing mereka telah menjadi punca kepada prestasi cemerlang ini.

 

"Walau bagaimanapun, kami perhatikan bahawa asas-asas dasar juga memberi kesan positif kepada Ringgit," katanya dalam laporan itu.

 

Kata Standard Chartered, ini termasuk kedudukan asing yang rendah di Malaysia, kedudukan luar pesisir pemastautin tinggi, perbezaan dasar monetari (di mana Malaysia mungkin satu-satunya bank serantau yang lebih berkemungkinan meningkat daripada dipotong), pemulihan pelancongan yang berterusan dan sebagainya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Ringgit semakin kukuh RM4.55 berbanding AS$1, cecah ke paras tertinggi dalam tempoh hampir setahun

 

"Walaupun begitu, kami perhatikan bahawa Ringgit telah pulih dengan ketara dalam tempoh yang singkat dan potensi pembinaan semula rizab mungkin menyederhanakan kenaikan selanjutnya secara relatif.

 

"Keputusan pilihan raya AS juga mungkin membawa sedikit risiko kepada Ringgit, terutamanya pada sebarang tindakan tarif yang keras ke atas China," jelasnya.

 

Dalam paa itu, Standard Charters berkata, pertumbuhan KDNK telah mengejutkan ke arah positif dengan KDNK 1H 2024 berkembang 5.0% tahun ke tahun berdasarkan anggaran KDNK 2Q.

 

Katanya, pertumbuhan begitu kukuh didorong aktiviti pelaburan yang ternyata lebih banyak daripada yang dijangkakan. 

 

"Kedua-dua aktiviti pelaburan awam dan swasta telah berkembang dengan pesat walaupun terdapat naratif pandangan global yang lembap. 

 

"Walau bagaimanapun, kami berpendapat bahawa kadar faedah tidak terlalu tinggi di Malaysia memandangkan kenaikan yang sederhana dalam kitaran ini; yang mungkin memberikan dorongan kepada pelaburan sektor swasta. 

 

"Sementara itu, projek infrastruktur awam terus memacu aktiviti pelaburan awam," jelasnya.

 

Dari sudut polisi, katanya, faktor utama yang mungkin dipantau oleh bank pusat ialah kesan pusingan kedua rasionalisasi subsidi RON95 yang masih belum diumumkan oleh kerajaan.

 

"Secara keseluruhan, kami berpendapat risiko tindakan BNM seterusnya lebih condong ke arah kenaikan berbanding pemotongan," ujarnya.

 

Standard Chartered berkata, inflasi telah perlahan secara mengejutkan dengan mengambil kira pemotongan subsidi dan persekitaran pertumbuhan yang agak positif.

 

"Kami fikir ia mungkin merupakan fungsi pemotongan subsidi yang sangat disasarkan dan persekitaran pertumbuhan gaji yang terurus secara relatif," katanya. - DagangNews.com