Ringgit kukuh jadikan kos makanan ayam semakin murah, Apex Securities ramal PWF Corp catat hasil lebih baik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit kukuh jadikan kos makanan ayam semakin murah, Apex Securities ramal PWF Corp catat hasil lebih baik

Harga makanan ayam lebih rendah disebabkan harga soya dan jagung lebih rendah dan pengukuhan ringgit. -Gambar PWF.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Pengkuhan nilai ringgit kebelakangan ini membolehkan kos bahan mentah makanan ayam menjadi lebih murah, seterusnya menyumbang kepada peningkatan pendapatan syarikat penternakan seperti PWF Corp Bhd.

 

Apex Securities berkata, apatah lagi ketika ini harga soya dan jagung, bahan utama untuk makanan ternakan telah turun berada di bawah harga dari tahun 2021-2023 disebabkan oleh bekalan global yang baik.

 

"Walaupun pengurangan subsidi kerajaan, kami meramalkan pertumbuhan keuntungan bersih teras yang lebih kukuh (PWF) didorong oleh beberapa faktor. 

 

"Petama, harga ayam yang lebih tinggi, kedua kos makanan yang lebih rendah disebabkan oleh harga komoditi yang lemah dan keadaan pertukaran asing yang menggalakkan dengan pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan margin yang lebih tinggi daripada peningkatan sumbangan telur," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Kata Apex Securities, memandangkan kos makanan ternakan menyumbang kira-kira 70% daripada perbelanjaan PWF, sebarang perubahan dijangka mempengaruhi margin. 

 

"Pengurangan tekanan kos pada harga komoditi ini memberi manfaat kepada operasi kilang makanan ternakan PWF, mengakibatkan penurunan kos input. 

 

"Dengan kestabilan dalam harga jualan ayam dan kos makanan ternakan yang lebih rendah, kami menjangkakan PWF akan mencapai margin yang lebih baik dalam suku-suku akan dating," jelasnya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Cecah paras tertinggi 15 bulan, penganalisis yakin ringgit terus kukuh sebagai mata wang terbaik Asia

 

pwf
PWF Corp, syarikat penternakan ayam yang turut mempunyai kilang makanan sendiri. -Gambar PWF

 

Kata firma penyelidikan itu, pemansuhan kawalan harga dan subsidi untuk ayam merupakan perkembangan positif bagi pengeluar seperti PWF. 

 

"Langkah ini memberikan fleksibiliti yang lebih besar kepada syarikat penternakan ayam untuk menyesuaikan harga sebagai respons terhadap perubahan keadaan pasaran. 

 

"Sebagai contoh, harga ayam telah turun naik dari RM5.90/kg pada 4Q 2023 kepada RM6.50/kg pada 1Q 2024 dan mencecah setinggi RM7.00/kg pada 2Q 2024," ujarnya.

 

Apex Securities menggemari PWF kerana kedudukannya sebagai syarikat ayam bersepadu tulen yang disokong oleh kilang makanan ternakan sendiri, serta kedudukannya sebagai penerima langsung harga komoditi yang rendah dan harga ayam yang lebih tinggi.

 

"Harga sasaran kami sebanyak RM1.22 sesaham 

 

"Keuntungan teras PWF dijangka meningkat dengan pesat berikutan penurunan kos kilang makanan ternakan dan harga ayam yang lebih tinggi," katanya.- DagangNews.com