KUALA LUMPUR 16 Julai - Maybank Investment Bank berkata, pertumbuhan ekonomi domestik serta jangkaan kadar dasar semalaman (OPR) stabil pada 3.00% memberi kesan positif kepada Ringgit yang diramalkan ke paras RM4.60 berbanding AS$1 pada akhir tahun 2024.
Menurut firma penyelidikan itu, Ringgit telah stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas intervensi oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan langkah-langkah komunikasi bersama oleh BNM dan Kementerian Kewangan.
"Kami meramalkan Ringgit akan berakhir tahun ini berbanding dolar AS pada paras RM4.60 sedolar AS.
"Faktor yang memberi kesan positif kepada Ringgit termasuk prospek pertumbuhan ekonomi domestik yang membaik serta jangkaan OPR yang stabil pada 3.00% berbanding pasaran dan jangkaan mengenai potongan 2-3 kali dalam kadar dana Persekutuan AS antara September 2024 dan Disember 2024," katanya dalam tinjauan prospek ekonomi Malaysia separuh kedua 2024.

Maybank IB dalam pada itu mengekalkan sasaran 1,680 mata Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pada akhir tahun ini.
"Beberapa faktor yang akan menyokong ialah potongan kadar faedah AS; butiran ZESJ yang akan berperanan dalam mendatangkan lebih banyak FDI dan pembangunan infrastruktur; dan prospek Ringgit yang lebih kukuh.
"Untuk strategi pelaburan, kami mencadangkan portfolio pelaburan yang dipilih dari sektor berkaitan pelaburan dan domestik, seimbang dengan saham pendapatan. Kami juga mencadangkan tujuh tema pelaburan untuk pelaburan pada 2H 2024.," ujarnya.
Maybank IB dalam pada itu kekal menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam NegEri Kasar (KDNK) 2024 yang lebih kukuh bagi Malaysia, daripada 4.4% kepada 4.7%.
ARTIKEL BERKAITAN: Maybank IB jangka KDNK 2024 berkembang pada kadar 4.4%
Firma penyelidikan itu berkata, ramalan pertumbuhan KDNK 2025 juga dinaikkan kepada 5.1% daripada 5.0% sebelumnya, susulan pertumbuhan KDNK sebenar Malaysia meningkat pada suku pertama 2024.
"Tumpuan utama pertumbuhan ekonomi Malaysia akan disokong oleh tiga faktor positif iaitu kitaran pelaburan dalam pelaburan langsung asing (FDI) dan DDI menunjukkan momentum pelaburan yang terus berkekalan sejak 2021 dan pemulihan permintaan luaran terutamanya dalam sektor elektronik/teknologi dan pelancongan.
"Ini menyumbang kepada pertumbuhan sektor perkhidmatan yang kukuh, peningkatan dalam pertumbuhan sektor pembuatan serta pemulihan dalam eksport barang dan perkhidmatan.
"Faktor ketiga, perbelanjaan pengguna yang mantap berdasarkan keadaan pasaran kerja yang baik dengan kadar pengangguran yang rendah dan stabil serta pertumbuhan pendapatan," jelasnya.
Dalam pada itu, katanya, perkara pentig kepada prospek makro Malaysia adalah risiko kenaikan inflasi domestik dan risiko penurunan geopolitik luaran.
"Risiko utama untuk ekuiti adalah pilihan raya AS (pada November 2024) dan hasil "Trump 2.0", kadar faedah AS "lebih tinggi dalam tempoh yang lebih lama", serta ketegangan di Rusia-Ukraine dan Timur Tengah yang makin meningkat," katanya..- DagangNews.com








