Ringgit dinilai rendah, kekal terdedah kepada trajektori dasar monetari ekonomi maju – BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ringgit dinilai rendah, kekal terdedah kepada trajektori dasar monetari ekonomi maju – BNM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Pergerakan ringgit, yang menyusut 3.9% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan 3.7% berbanding rakan dagang utama dari segi efektif nominal, sejak kebelakangan ini tidak mencerminkan asas ekonomi negara atau prospek ekonomi yang positif, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Bank pusat itu juga memberi amaran bahawa keadaan pada masa hadapan masih tidak menentu meskipun tekanan terhadap ringgit dijangka berkurangan memandangkan kitaran pengetatan monetari global mungkin telah mencapai tahap tertinggi. 

 

Sehubungan itu, BNM turut menyatakan bahawa ringgit yang semakin lemah akan memudaratkan ekonomi domestik.

 

“Sedikit sebanyak, kita mungkin melihat jangkaan pasaran yang berubah dan berbeza berhubung dengan trajektori dasar monetari ekonomi maju. Hal ini seterusnya akan memberikan kesan terhadap ringgit.

 

“Oleh itu, BNM sedar bahawa ringgit yang berterusan dinilai di bawah tahap saksamanya boleh mengakibatkan kesan yang kekal terhadap ekonomi jika tidak ditangani,” kata BNM dalam laporan Tinjauan Ekonomi dan Ekonomi 2023 hari ini.

 

Seiring dengan mata wang serantau lain, bank itu berkata ringgit mengalami tekanan penurunan nilai disebabkan terutamanya oleh dasar monetari yang diketatkan secara agresif di ekonomi maju, yang menjadikannya mata wang kedua terburuk pada 2023.

 

Situasi ini berlarutan hingga tahun 2023, didorong oleh peningkatan lanjut kadar faedah global, kelembapan ekonomi China, dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah. 

 

“Meskipun kebanyakan negara maju dan beberapa negara serantau menaikkan kadar faedah secara agresif, BNM mengekalkan kenaikan OPR [kadar dasar semalaman] yang lebih beransur-ansur. Langkah ini lebih sesuai dengan keadaan negara iaitu tekanan harga dan permintaan dalam negeri yang lebih sederhana berikutan pelarasan semula dasar monetari secara awal,” tambahnya.

 

Bagi melindungi nilai ringgit, BNM menekankan bahawa usahanya melibatkan diri secara aktif dengan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan digalakkan untuk membawa balik pendapatan pelaburan asing dan menukarkannya kepada ringgit secara konsisten.

 

Selanjutnya, bank pusat itu berkata ia telah meningkatkan libat urus dengan pengeksport dan pelabur antarabangsa bagi menggalakkan penukaran dan menekankan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

 

BNM juga terus menyaran penggunaan mata wang tempatan yang lebih meluas apabila menyelesaikan pembayaran eksport atau import, sama ada melalui Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan atau saluran perbankan koresponden biasa, bagi mengurangkan pergantungan kepada dolar AS.

 

“Secara amnya, BNM juga telah mempergiat libat urusn dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pemilik perniagaan, penganalisis pasaran kewangan dan ahli politik, untuk memperdalam lagi pemahaman tentang cabaran yang dihadapi dalam persekitaran ini, serta berkongsi pandangan dan tindak balas BNM dalam menguruskan tekanan terhadap ringgit,” ujarnya. - DagangNews.com