KUALA LUMPUR 16 Dis - Ringgit dijangka diniagakan dalam julat antara RM4.40 hingga RM4.42 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) di tengah-tengah ketidaktentuan pasaran yang semakin meningkat.
Menurut Kenanga Research, meskipun bacaan inflasi teras AS semakin perlahan daripada jangkaan pada 6% tahun ke tahun, ringgit terus melemah berbanding mata wang utama itu.
Ini terutamanya disebabkan kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Jerome Powell yang lebih tegas selepas Fed menaikkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas pada Rabu lalu.
Malah, ringgit turut diseret turun oleh bacaan indeks pengeluaran perindustrian yang lebih lemah daripada jangkaan sebanyak 4.6% tahun ke tahun pada Oktober.
"Mata wang tempatan dijangka diniagakan dalam julat yang ketat dengan kecenderungan menaik berbanding dolar AS memandangkan indeks dolar AS terus tertekan di bawah paras 105.
"Keadaan ini berpunca daripada bacaan jualan runcit AS yang lebih lemah daripada jangkaan pada -0.6% bulan ke bulan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Di peringkat domestik pula, bacaan dagangan yang lebih kukuh mungkin dapat memberi sokongan kepada ringgit.
"Namun, kami melihat ringgit mungkin akan terus diniagakan melebihi paras RM4.40 ekoran ketidaktentuan yang semakin meningkat," jelasnya.

Dalam dagangan pagi ini, ringgit dibuka mengukuh sedikit berbanding dolar AS selepas Powell menyatakan pendirian lebih sederhana berkaitan kenaikan setengah mata peratusan kadar faedah utama negara itu kepada 4.5%.
Pada 9 pagi ini, ringgit diniagakan pada RM4.4110/4200 berbanding dolar AS daripada RM4.4195/4260 pada akhir urus niaga semalam.
Fed mengunjurkan akan terus menaikkan kadar dana persekutuan sehingga melebihi 5% pada 2023, paras yang tidak pernah disaksikan sejak kemelesetan ekonomi pada 2007.
Pada Rabu, mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS telah menaikkan kadar itu sebanyak 50 mata asas kepada 4.25 hingga 4.5%, tertinggi dalam tempoh 15 tahun.

Sementara itu, Public Investment Bank Research mengunjurkan ringgit akan berlegar sekitar RM4.40 hingga RM4.45 berbanding dolar AS menjelang akhir tahun ini.
Bagi 2023, firma itu menjangkakan ringgit lebih mengukuh pada RM4.30 hingga RM4.35 memandangkan Fed mengurangkan pendirian tegasnya terhadap kadar faedah.
"Melainkan terdapat gangguan yang ketara kepada ekonomi global menyebabkan dana pelabur kembali kepada dolar AS yang lebih selamat," katanya.
Menurutnya, jika Fed gagal memerangi inflasi, mungkin terdapat ketidaktentuan dan kesan tertentu untuk aliran modal global, di mana kadar dasar AS yang jauh lebih tinggi akan menyebabkan pergerakan portfolio dari negara-negara membangun kembali kepada ekonomi maju.
Dalam hal ini, katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) seperti bank pusat ASEAN yang lain mungkin mengalami kesukaran akibat kesan pembalikan aliran modal, yang mungkin mengakibatkan ketidaktentuan dan kelemahan mata wang.
"Selain itu, ini berlaku pada masa negara mengalami peningkatan risiko geopolitik dan ketidaktentuan, ditambah pula dengan peralihan mata wang yang lebih selamat seperti dolar AS dalam pasaran mata wang asing," jelasnya.

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research pula berpandangan prestasi buruk ringgit bakal berakhir dan menjangkakan ia berada pada purata RM4.34 berbanding dolar AS pada 2023 berbanding kira-kira RM4.40 ketika ini.
Menjelang akhir tahun ini, ringgit diunjur berlegar sekitar RM4.30 berbanding dolar AS.
Firma penyelidikan itu berkata, pada 2022, mencatatkan penurunan berbanding dolar AS disebabkan kenaikan kadar faedah oleh Fed di tengah-tengah data AS yang kukuh dan jangkaan inflasi.
“Melangkah ke 2023, Fed memberi bayangan mengambil pendekatan lebih seimbang apabila keseluruhan inflasi menyederhana daripada paras kemuncak susulan harga minyak mentah dan makanan yang rendah.
“Bagaimanapun, pergerakan kadar pertukaran masih agak tidak menentu kerana inflasi tarikan permintaan kekal kukuh seperti yang ditunjukkan oleh prestasi kukuh pasaran buruh,” katanya.- DagangNews.com








