SHAH ALAM 7 Julai - RichWorks International Sdn Bhd (RichWorks) menyasarkan sebanyak 6,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengalami cabaran untuk melonjakkan bisnes untuk menyertai Klinik Usahawan: Siri Bina Bisnes Berjaya, bermula Julai 2023.
Pengerusi RichWorks dan Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr Azizan Osman klinik usahawan tersebut ditaja sepenuhnya melalui geran bimbingan perniagaan bernilai RM3 juta bagi manfaat usahawan berkenaan dalam tempoh selama tiga bulan.
Beliau berkata, pihaknya memberi fokus kepada usahawan yang serius untuk bangkit dan transformasi bisnes mereka dalam apa jua keadaan ekonomi yang mencabar ketika ini.
Katanya, untuk menyertai program ini, usahawan perlu hadir ke pejabat RichWorks untuk menjalani latihan dan pihak perunding akan memberikan sesi penilaian perniagaan yang berharga RM497 yang mana usahawan terbabit tidak perlu bayar.
"Tetapi bukan senang untuk usahawan dapat peluang ini, kerana mereka perlu membuat permohonan untuk kami nilai tahap perniagaan mereka sama ada sesuai atau tidak.
"Sesi ini khas untuk usahawan yang telah menjalankan perniagaan yang mana kita akan menangani masalah bisnes mereka. Setakat ini seramai 100 usahawan yang memberi maklum balas, ia sangat membantu mereka bagaimana untuk bangkit dalam keadaan mencabar ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Majlis Pelancaran Geran Bimbingan Bernilai RM3 juta sempena Klinik Usahawan: Siri Bina Bisnes Berjaya, di sini, hari ini.

Dalam majlis itu, Azizan turut mengumumkan program seminar khas, 10x Bina Bisnes Berjaya (10xBBB) yang akan dianjurkan di sekitar Lembah Klang selama dua hari pada 2 dan 3 September 2023.
Beliau berkata, seminar itu merupakan sesi bimbingan susulan perkembangan bisnes usahawan yang menyertai klinik usahawan tersebut.

"Saya juga akan berkongsi strategi terutamanya pada zaman teknologi ChatGPT dan kecerdasan buatan (AI) ketika ini. Saya boleh tunjukkan bagaimana usahawan boleh mengubah perniagaan mereka menerusi ChatGPT sahaja sebenarnya," katanya.
Untuk maklumat lanjut, bangsa usahawan boleh melayari laman web richworks.com/satujutapertama. - DagangNews.com








