KUALA LUMPUR 1 Dis - RHB Research optimis dengan prospek Coastal Contract Bhd. dan berpeluang memperoleh kontrak loji gas ketiga Ixachi berikutan kejayaan Perdiz dan Papan sebelum ini.
Ini mendorong firma itu menaikkan harga sasarannya kepada RM2.68 daripada RM2.40 sesaham sebelum ini dengan mengekalkan saranan 'beli'.
Menurutnya, Coastal Contarct sebelum ini menyatakan strateginya untuk memberi tumpuan kepada infrastruktur berkaitan pengeluaran dan dengan pasaran kapal perkhidmatan luar pesisir (OSV), ia optimis untuk melupuskan semua OSVnya dalam tempoh 12 bulan akan datang.
"Pada masa ini, kumpulan sedang mengemukakan tender untuk loji pemprosesan minyak dan loji penyaman gas ketiga Ixachi, yang dijangka diumumkan pada suku pertama 2023.
"Ini susulan pengumuman baru-baru ini yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pemex, Octavio Romero Oropeza mengenai rancangannya untuk menghentikan pembakaran gas, seperti yang dilaporkan oleh Reuters," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku pertama berakhir 30 September 2022, pendapatan Coastal Contract susut kepada RM51.94 juta daripada RM52.12 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ia disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen penyewaan kapal setelah tamatnya kontrak sewa jangka pendek pada suku keempat tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22).
Keuntungan teras pada suku berkenaan bagaimanapun mneingkat 125% suku ke suku kepada RM78.4 juta daripada RM34.8 juta dipacu bahagian keuntungan usaha sama yang lebih tinggi, kerana pengebilan untuk loji Papan telah mula meningkat.
Sehingga kini, pihak pengurusan memberi panduan sebanyak AS$108 juta (daripada AS$220 juta) pembayaran EPC telah dikutip, dan ia menjangkakan untuk menerima selebihnya pada suku kedua hingga ketiga FY23.
Menurut RHB Research, pembinaan loji Papan telah pun selesai dan kumpulan kini berada dalam fasa pentauliahan yang kebiasaannya proses itu akan mengambil masa antara satu hingga dua bulan.
"Oleh itu, kami menjangkakan loji ini akan mengeluarkan gas pertama pada suku pertama 2023," katanya.
Dalam penutupan 12.30 tengah hari tadi, harga sahamnya menokok 6 sen atau 2.69% kepada RM2.29 dengan 1.84 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








