RHB Research naikkan TP Petronas Chemicals kepada RM12.21 sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Research naikkan TP Petronas Chemicals kepada RM12.21 sesaham

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Mei - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Petronas Chemicals Bhd. dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM12.21 daripada RM10.86 sebelum ini. 

 

Penilaian TP itu ditambat kepada 9 kali harga perusahaan (EV)/pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) dengan premium 3% berdasarkan kepada skor ESG pada 3.1. 

 

Firma itu berkata, sama seperti trend harga minyak, ia menjangkakan harga petrokimia kekal tinggi, tetapi ini sepatutnya berkurangan daripada kemuncak baru-baru ini.

 

"Hasil Petronas Chemicals sepatutnya kekal kukuh dalam tempoh terdekat, dan penilaiannya kekal menarik, di sebalik penyederhanaan harga jualan purata (ASP) yang dijangka, selaras dengan ramalan minyak mentah kami," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurutnya, pengurusan kumpulan berhati-hati dengan prospek harga petrokimia dan menjangkakan harga akan menyederhana dalam tempoh 3 bulan akan datang. 

 

Bagaimanapun, keseluruhan harga masih kekal tinggi di tengah-tengah ketidaktentuan yang dicetuskan oleh perang Rusia-Ukraine dan harga gas yang tinggi. 

 

Jumlah jualan keseluruhan Petronas Chemicals juga tidak terjejas dengan sekatan pergerakan di China (merangkumi 16% daripada hasil FY21), memandangkan produknya disalurkan kepada negara Asia Tenggara yang lain.

 

RHB Research berkata, operasi Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) telah dilanjutkan sehingga separuh kedua 2022, disebabkan kelewatan berterusan bagi kilang penapisan dan cracker.

 

Namun, katanya, pengurusan masih menjangkakan untuk mencapai 50 hingga 60% kadar penggunaan dalam tempoh 12 bulan pertama dan mencapai pulang modal berdasarkan kepada terma EBITDA. 

 

"Secara keseluruhan, bahan mentah PIC didagangkan pada harga diskaun kepada harga pasaran kerana kemudahan logistik, tetapi keuntungan akan diselaraskan dengan 'cara seimbang' berdasarkan keuntungan keseluruhan loji bersepadu (kilang penapisan, cracker dan petrokimia) yang melibatkan subsidi oleh bahagian yang lebih kukuh," jelasnya.

 

Jelas firma itu, walaupun keseluruhan loji mengekalkan kadar penggunaan melebihi 90% tahun ini, kadar penggunaan pada separuh kedua adalah lebih tinggi, memandangkan kesemua 4 pemulihan yang dirancang dilakukan pada separuh pertama 2022.

 

Pada masa sama, menurutnya, kumpulan juga menjangkakan lebih banyak keputusan pelaburan akhir (FID) derivatif selanjutnya dalam jangka masa terdekat bagi memperoleh margin yang lebih tinggi, dan terus berkembang secara bukan organik melalui penggabungan dan pengambilalihan.

 

Ini menyaksikan RHB Research menyemak unjuran hasil yang lebih tinggi bagi FY22-FY24 sebanyak 13 hingga 23%, setelah mengambil kira ASP yang lebih tinggi. 

 

"Bagaimanapun, risiko penurunan masih bergantung kepada harga petrokimia yang lebih lemah daripada jangkaan dan kadar penggunaan loji," tambahnya. - DagangNews.com