KUALA LUMPUR 5 Dis - Sunview Group Bhd. bersedia untuk memanfaatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang semakin meningkat berdasarkan kepada komitmen kerajaan untuk mencapai pemasangan kapasiti sebanyak 31% menjelang 2025.
Menurut RHB Investment Bank, dengan rekod prestasi yang kukuh dan statusnya sebagai syarikat tersenarai, kumpulan berada pada kedudukan yang baik untuk memenangi lebih banyak kontrak bagi projek solar berskala besar (LSS) pada masa akan datang.
Malah, katanya, Sunview juga mendapat manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat bagi kemudahan solar fotovoltaik (PV) daripada pelanggan komersial dan perindustrian berikutan kesedaran terhadap pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan campuran RE yang lebih tinggi.
"Buat masa ini, Sunview memiliki 18 kemudahan solar PV dengan jumlah pemasangan kapasiti 7.74MWp, yang boleh menjana hasil lebih daripada 2%.
"Kumpulan merancang untuk menggandakan pemasangan kapasiti kepada kira-kira 15MWp dalam tempoh dua tahun, dan berusaha untuk terus membina atau memperoleh lebih banyak aset solar, menggunakan gabungan pembiayaan ekuiti dan hutang," katanya dalam nota kajian hari ini.
Sunview memiliki nilai kontrak yang belum dibilkan kukuh sebanyak RM644 juta setakat akhir September 2022 (6.5 kali daripada hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023-FY23) yang menyediakan keterlihatan pendapatan dan terus memacu pertumbuhan hasil.
Ia terutamanya merupakan kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang menyaksikan sebahagian besar hasilnya dengan menyediakan perkhidmatan EPCC dalam projek LSS dan kemudahan solar PV bagi pelanggan komersial dan perindustrian.
Selain itu, Sunview juga memiliki kemudahan solar PV di atas bumbung pelanggan dan mengendalikannya untuk tempoh konsesi tetap di bawah perjanjian pembelian kuasa (PPA).
RHB Investment menjangkakan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 40% dipacu nilai kontrak semasa dan penambahan projek akan datang.
"Walaupun margin semakin perlahan bagi tahun ke tahun pada separuh pertama FY23 didorong sumbangan projek LSS yang lebih besar, kami berpendapatan ia boleh meningkat secara beransur-ansur apabila harga panel solar mula berkurangan, dan apabila Sunview memperoleh sel solar jenis P terdiskaun tertentu di pasaran," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu memberi nilai wajar Sunview pada 66 sen.
Setakat 12.07 tengah hari, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 48.5 sen dengan 8.33 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








