RHB Investment semak turun pendapatan Sarawak Oil Palms bagi FY23-25 sebanyak 10-14% akibat harga MSM dan segmen hiliran merosot | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

RHB Investment semak turun pendapatan Sarawak Oil Palms bagi FY23-25 sebanyak 10-14% akibat harga MSM dan segmen hiliran merosot

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 19 April - Penurunan harga minyak sawit mentah dan pendapatan hiliran yang lebih rendah boleh mengheret pendapatan Sarawak Oil Palms Bhd walaupun pengeluaran kumpulan itu sepatutnya bertambah baik tahun ini, kata RHB Investment.

 

Firma penyelidikan itu berkata kumpulan tersebut menjangkakan prestasi segmen hiliran pada tahun kewangan 2023 (FY23) menjadi lebih rendah tahun ke tahun (YoY) disebabkan harga produk sampingan yang lebih rendah, manakala volum dijangka tidak berubah.

 

Sementara itu, kadar penggunaan penapisan kekal sekitar 80 hingga 90%, di mana pengembangan kapasiti penapisan 800 tan sehari, yang memfokuskan pada produk yang lebih berkualiti dan disesuaikan, telah ditauliahkan awal tahun ini, dengan kadar penggunaan semasa sebanyak 20%.

 

“Sarawak Oil Palms menjangkakan ia akan mengambil masa dua bulan lagi untuk kapasiti tambahan itu berjalan lancar. Oleh itu, kami memotong margin tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25). kami dan andaian penggunaan,” katanya dalam nota hari ini.

 

Firma itu mengurangkan pendapatan FY23-25 sebanyak 10 hingga 14% dengan mengurangkan margin hiliran dan andaian penggunaan penapisan, di samping ramalan hasil buah tandan segar (BTS).

 

Menurut firma tersebut, kumpulan menyasarkan pertumbuhan buah tandan segar (BTS) sebanyak 7 hingga 8% tahun ini, terutamanya disokong oleh masalah kekurangan buruh yang kian reda dan setakat Mac tahun ini, ia mencatatkan pertumbuhan BTS sebanyak 2.8% (tahun ke tahun (YoY).

 

“Untuk bersikap konservatif, bagaimanapun, kami menyemak semula pertumbuhan keluaran BTS tahun kewangan 2023 hingga 2025 (FY23-25) kepada 3 hingga 6% daripada 2 hingga 9%,” katanya.

 

Langkah baharu yang dibuat pada 23 Mac oleh Kerajaan Negeri Sarawak untuk membenarkan kemasukan pekerja asing dari Bangladesh, Nepal, India dan Filipina dijangka memberikan kumpulan tersebut tenaga kerja mencukupi menjelang akhir tahun ini, jelas firma itu.

 

Di samping itu, kumpulan itu juga menjangkakan kos pengeluarannya kekal mendatar pada FY23, dengan kos baja yang lebih rendah diimbangi oleh kos buruh lebih tinggi, memandangkan peningkatan kemasukan pekerja asing.

 

Firma itu berkata pemulihan operasi akan menjadi fokus utama kumpulan tahun ini dengan menyasarkan penanaman semula kawasan ladang 3000 hingga 3,500 hektar berbanding sekitar 1,800 hektar tahun lalu.

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) diturunkan kepada RM2.50 sesaham daripada RM2.75. -DagangNews.com