RHB Investment menilai Topmix yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 43 sen | DagangNews Skip to main content

RHB Investment menilai Topmix yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE pada 43 sen

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 April - RHB Investment memberi harga sasaran pada 43 sen terhadap Topmix Bhd yang akan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Saranan itu adalah berdasarkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) tiga tahun sebanyak 17.8% bagi tahun kewangan 2024 (FY24) dan 15 kali harga perusahaan sejajar dengan purata pemain industri lain.

 

Menurut firma itu, harga sasaran itu mewakili pulangan sebanyak 38% daripada harga tawaran awam permulaan (IPO). 

 

"Jenama Topmix menguasai bahagian pasaran terbesar di wilayah selatan Malaysia, syarikat itu bersedia untuk pengembangan selanjutnya.

 

"Rancangan pengembangan itu merangkumi peningkatan kapasiti gudang di pejabat wilayah pusatnya bagi menampung pertumbuhan selain menubuhkan pejabat jualan, bilik pameran dan gudang di Pulau Pinang untuk menerokai pasaran utara," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Topmix sasar kumpul RM25.6 juta daripada IPO Pasaran ACE Bursa Malaysia

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu akan menceburi bidang pembuatan papan berlamina MFC menjelang Jun 2024.

 

Katanya, langkah itu bertujuan menyediakan bahan hiasan permukaan dengan kos lebih murah kepada pelanggan sedia ada dan pengeluar perabot yang belum diterokai di Malaysia.

 

Dengan rangkaian produk yang pelbagai melebihi 480 reka bentuk, termasuk kira-kira 190 reka bentuk laminate tekanan tinggi (HPL), Topmix bersedia untuk pertumbuhan ketara dalam sektor pengubahsuaian, terutamanya dengan model perniagaannya yang ringan aset dengan pembuatan sumber luar.

 

"Sebagai pemilik jenama, kumpulan itu kekal komited memperkenalkan reka bentuk inovatif sejajar dengan trend pasaran, dibantu oleh kerjasama dalam reka bentuk produk.

 

"Portfolio produk yang luas ini meletakkan Topmix di landasan baik bagi memanfaatkan industri pembinaan dan hartanah yang sedang berkembang di Malaysia," katanya. - DagangNews.com