RHB Investment kekal 'neutral' terhadap sektor automotif, jangka prospek jualan lemah pada 2024 | DagangNews Skip to main content

RHB Investment kekal 'neutral' terhadap sektor automotif, jangka prospek jualan lemah pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Sept - RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif selepas mengambil kira keterlihatan yang rendah selain jangkaan prospek jualan kereta yang lemah pada 2024.

 

Kekurangan pemangkin penting bagi mengekalkan tempahan dan penghantaran baharu yang kukuh dijangka menyumbang kepada tahun yang lebih lemah bagi industri automotif pada 2024.

 

“Kami juga menjangkakan pesanan tertunggak pasaran utama akan berkurangan secara beransur-ansur sepanjang suku keempat 2023.

 

“Walaupun penggunaan kenderaan elektrik (EV) mungkin menyumbang kepada jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) 2024, tetapi kami melihat ia masih belum mencukupi untuk meningkatkan jumlah jualan secara signifikan.

 

"Semakan kami dengan pemain industri menunjukkan bahawa prospek 2024 kekal kabur,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

RHB Investment berkata, TIV Ogos berjumlah 72,000 unit terutamanya daripada pengeluar kereta dari Jepun iaitu Honda dan Toyota, masing-masing meningkat 30% dan 23% dari bulan ke bulan disebabkan tunggakan tempahan kita.

 

Katanya, jumlah itu menjadikan TIV tahun ini meningkat kepada 502,000 unit.

 

Prestasi kukuh bulan lepas menunjukkan bahawa 2023 berpotensi menjadi satu lagi rekod untuk TIV.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran TIV tahun ini sebanyak 725,000 unit kerana penghantaran kukuh daripada jenama dengan tunggakan tinggi disokong oleh pelancaran model baharu.

 

"Pilihan utama kami masih Bermaz Auto Berhad (beli; harga sasaran: RM3.45), kerana berpendapat jualan keretanya akan kekal berdaya tahan berbanding jenama lain," katanya. - DagangNews.com