KUALA LUMPUR 26 Jan - RHB Investment mengekalkan taraf saranan ‘neutral’ ke atas Pavilion Real Estate Investment Trust (Pavilion REIT) kerana firma itu lebih berhati-hati terhadap prospek perbelanjaan runcit tahun ini berikutan peningkatan persaingan dan cukai lebih tinggi yang dikenakan ke atas pengguna kelas atas.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu meletakkan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM1.35 seunit daripada RM1.29 dan menaikkan unjuran pendapatan REIT tersebut sebanyak 3% bagi tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-25) selepas keputusan tahun penuh FY23 baru-baru ini.
“Keputusan Pavilion REIT pada FY23 adalah selaras dengan jangkaan, melaporkan pertumbuhan dividen seunit (DPU) yang kukuh walaupun kos utiliti dan pinjaman lebih tinggi didorong pemulihan dalam perbelanjaan pelancong,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di samping itu, RHB Investment turut memperkenalkan pendapatan REIT itu bagi FY26 sebanyak RM372 juta, dengan pertumbuhan DPU mendatar kerana firma tersebut menjangkakan penempatan persendirian peringkat kedua untuk pengambilalihan PBJ akan diteruskan pada FY25, yang disasarkan untuk menjana RM550 juta.
Pavilion REIT telah melaporkan keuntungan teras suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berjumlah RM81.7 juta, meningkat 25.7% tahun ke tahun (YoY), menjadikan pendapatan FY23 lebih tinggi 15.8% pada RM285.3 juta.
Tidak termasuk Pavilion Bukit Jalil (PBJ), hasil dan pendapatan harta bersih (NPI) meningkat 8.6% dan 11.6%, terutamanya disebabkan oleh pemulihan kukuh bagi Pavilion KL (PKL) dan Elite Pavilion.
Margin NPI bagi tahun itu turun sedikit kepada 63.4% (FY22: 63.9%), sebahagiannya disebabkan oleh margin PBJ yang rendah. REIT itu mencatatkan DPU FY23 sebanyak 9.01 sen (FY22: 8.37 sen).
RHB Investment berkata tahap penghunian PBJ telah meningkat kepada 88% pada Disember 2023 daripada 83.6% ketika ia diperoleh pada Jun 2023.
Bagaimanapun, katanya, pihak pengurusan memaklumkan bahawa banyak penyewa masih meningkatkan operasi mereka, menjelaskan punca margin NPI rendah hanya pada 50%.
“Memandangkan ini adalah tahun ketiga sejak pembukaannya, 59% daripada kawasan boleh disewa bersih (NLA) pusat beli-belah itu bersedia untuk diperbaharui pada FY24, dengan sebahagian besarnya diperoleh pada Disember.
“Pihak pengurusan berharap penghunian akan bertambah baik melebihi 90% dan menjelang Disember, pusat beli-belah itu boleh merekodkan pulangan penyewaan digit tunggal tinggi kepada dua digit rendah, yang datang daripada asas yang rendah berbanding pesaing,” kata RHB Investment.
Pada pukul 9:37 pagi ini, Pavilion REIT didagang 4 sen atau 3.2% lebih tinggi kepada RM1.28 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM4.68 bilion. - DagangNews.com








