KUALA LUMPUR 15 Ogos - Reservoir Link Energy Bhd, melalui anak syarikatnya, Founder Energy Sdn Bhd, telah memperoleh enam kontrak solar dalam tempoh tiga bulan, antara Jun dan Ogos 2023 dengan nilai keseluruhan RM6.59 juta.
Penyedia perkhidmatan berkaitan tenaga berkata dalam satu kenyataan media hari ini bahawa ia akan menggunakan kepakaran terbukti dan pengalaman relevannya dalam tenaga boleh diperbaharui solar bagi melaksanakan projek berkenaan.
Jelasnya, kontrak-kotrak tersebut meliputi pelbagai skop di bawah kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), serta kerja-kerja pembumian kemudahan solar yang terletak di Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
“Industri solar Malaysia telah mengalami pertumbuhan yang luar biasa sejak beberapa dekad lalu, terutamanya dari segi penggunaan, pelaburan dan minat daripada pelbagai pihak.
“Ini tidak mengejutkan memandangkan tenaga solar merupakan salah satu sumber tenaga boleh diperbaharui yang amat banyak dan memiliki masa hadapan di Malaysia,” ujar Pengarah Eksekutif Reservoir Link, Thien Chiet Chai.

Memandangkan negara sedang dalam peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, Thien berkata kumpulan itu tidak menjangka permintaan berkurangan dalam masa terdekat.
Tambahnya, Reservoir Link percaya mereka perlu menggandakan aktiviti bagi memenuhi permintaan yang begitu menggalakkan seperti yang terbukti daripada tempahan dan pertanyaan baharu diterimanya secara berterusan.
“Justeru, kami kekal positif terhadap sumbangan daripada segmen tenaga boleh diperbaharui kami pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Pada waktu penulisan, saham Reservoir Link tidak berganjak pada 32.5 sen dengan permodalan pasaran yang berjumlah RM98 juta. - DagangNews.com







