Ramssol, Boost Credit jalin kerjasama promosi produk pembiayaan mikro | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ramssol, Boost Credit jalin kerjasama promosi produk pembiayaan mikro

(Dari Kiri) Pembantu Peribadi Khas kepada Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Vivi Lye; Datuk Seri Cllement Tan; Gurpreet Khera; dan Ketua Strategi Perniagaan O2O Boost, Shang Tan
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 April - Ramssol Group Berhad melalui anak syarikat, RAMS Solutions Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Axiata Digital Capital Sdn Bhd, anak syarikat dan cabang fintech Axiata Group Berhad yang memberi kuasa kepada Boost.

 

Dalam satu kenyataan, Ramssol berkata, di bawah perjanjian itu, RAMS Solutions akan mempromosi dan memasarkan pembiayaan modal kerja mikro, pembiayaan rantaian bekalan, pembiayaan invois dan sebarang produk lain yang diperkenalkan oleh Boost Credit semasa tempoh kerjasama.

 

Kerjasama ini akan berusaha memanfaatkan perkhidmatan kewangan digital hujung ke hujung Boost Credit bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perusahaan mikro untuk mengakses sokongan dan penyelesaian pembiayaan yang pantas, mudah dan berpatutan melalui Boost Credit untuk mencapai matlamat kewangan mereka.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ramssol, Datuk Seri Cllement Tan Chee Seng berkata kerjasama ini pada dasarnya bertujuan terus menggalakkan kemasukan dan kebolehcapaian perniagaan kepada rangkaian penyelesaian kewangan digital Boost Credit, mengambil kelebihan daripada pengalaman pengguna ditambah dengan alat pemasaran dan mekanisme penyampaian berbeza dari RAMS Solutions.

 

“Boost Credit memenuhi keperluan perusahaan harian Malaysia, menawarkan proses pembiayaan dipermudahkan yang mudah difahami dan patuh Syariah.

 

Inovasi dan teknologi pemasaran yang digunakan melalui RAMS Solutions pada asasnya akan meluaskan capaian Boost Credit supaya pemohon boleh mengakses pembiayaan berkaitan secara fleksibel,” tambahnya.

 

Boost Credit, melalui platform pembiayaan mikro sehentinya, menyediakan permohonan dalam talian dan kelulusan untuk pengembangan perniagaan dan pembiayaan modal kerja sehingga RM200,000 pada kadar keuntungan 1.5% sebulan, bergantung pada tempoh pegangan.

 

“Melalui kerjasama ini, saya yakin bahawa kami boleh menggunakan keupayaan Marketing Tech syarikat untuk menyampaikan penyelesaian kewangan relevan dan nilai kepada perniagaan, pada masa yang sama menangani masalah cadangan pinjaman perusahaan semasa,” tambah Datuk Seri Cllement.

 

Ketua Pegawai Perniagaan Boost Credit, Gurpreet Khera berkata tumpuan teras Boost sentiasa mengecilkan jurang rangkuman kewangan dengan memperkasakan pengguna dengan alat kewangan digital yang dipermudahkan, supaya mereka boleh meneruskan aspirasi tanpa kebimbangan kewangan.

 

Gupreet berkata, Boost Credit direka khusus dan tersedia untuk mereka yang tidak dapat mengakses kemudahan kredit formal.

 

“Berdasarkan mentaliti perkongsian 'menang-menang' antara Boost Credit dan Ramssol ini, kami akan dapat memanfaatkan kekuatan satu sama lain dalam taja jamin kredit dan keupayaan pemasaran untuk membawa penyelesaian kredit perniagaan paling relevan kepada segmen yang kurang mendapat perkhidmatan,” tambahnya. -DagangNews.com