KUALA LUMPUR 3 Jan - QL Resources Bhd menyasar membuka 60 kedai FamilyMart setahun bagi mencapai sasarannya memiliki 600 kedai menjelang 2027.
Setakat suku ketiga tahun kewangan 2023, QL Resources sudah membuka 325 kedai FamilyMart di seluruh negara, lapor Berita Harian.
Penganalisis Affin Hwang Investment Bank, Damia Othman berkata, pengendali kedai serbaneka itu juga sedang merancang untuk membuka 96 unit FM Mini di lokasi trafik tinggi bagi meningkatkan saluran jualannya.
"QL Resources juga mengendalikan pusat saluran omni termasuk dalam kedai, penghantaran atas permintaan, pengambilan kendiri dan mesin layan diri.
"Ambil perhatian bahawa 70 peratus daripada jualan FamilyMart adalah daripada kategori makanan dan minuman (F&B) dan 30 peratus adalah produk yang dijual dari dapur pusatnya," katanya dalam nota penyelidikan.
Damia berkata, pengembangan operasi perniagaan dijangka disokong oleh pentauliahan dapur pusat kedua pada tahun lalu yang mempunyai kapasiti untuk menyediakan 300 kedai tambahan yang membawa jumlah kapasiti kepada 600 kedai di seluruh dapur pusat semasa FamilyMart.
"Sementara itu, rancangan pembesaran terhad kepada bahagian tengah dan sebahagian utara Semenanjung Malaysia," katanya.
Sementara itu, Affin Hwang Investment Bank menjangkakan, pendapatan QL Resources meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 9.5% antara tahun kewangan 2022 hingga 2025 didorong oleh pemulihan dalam jualan eksport daripada segmen marin daripada pembukaan semula sempadan perdagangan selepas penutupan COVID-19.
"Permintaan yang lebih kukuh daripada perniagaan ternakan di Indonesia dan Vietnam serta sumbangan jualan kedai baharu yang lebih tinggi apabila FamilyMart meneruskan rancangan pembesaran kedainya dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan kumpulan.
"Sebaliknya, ia akan diimbangi sebahagiannya oleh jualan yang lebih rendah daripada perniagaan minyak sawit apabila permintaan menurun dan apabila harga minyak sawit mentah (MSM) kembali normal," katanya.
Damia berkata, walaupun keuntungan bersih teras diramalkan kukuh bagi tahun kewangan 2023, bank pelaburan itu menjangkakan ia akan berkembang sedikit pada tahun kewangan 2024 berikutan persekitaran kos yang meningkat dalam operasi ternakan di Malaysia.
"Ia susulan disebabkan keuntungan adalah terhad oleh harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan serta potensi kerugian yang diterjemahkan daripada operasi minyak sawit Indonesia akibat kelemahan rupiah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
"Ini mungkin dapat dikurangkan dengan campuran margin yang lebih baik daripada segmen marin dan peningkatan sumbangan daripada kedai FamilyMart berikutan pembukaan kedai baharu dan sumbangan FM Mini baharu," katanya. - DagangNews.com








