Pusat Perhubungan Alumni UPM sumbang lebih RM13,000 kepada rumah anak yatim dan asnaf menerusi Program Tautan Mahabbah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pusat Perhubungan Alumni UPM sumbang lebih RM13,000 kepada rumah anak yatim dan asnaf menerusi Program Tautan Mahabbah

Prof Madya Dr Arba'ie Sujud (kiri) menyerahkan 'mock cheque' sumbangan bernilai lebih RM13,000 kepada Molyana Mahmud di Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Banting, Selangor, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 11 April -  Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (ARCUPM) menyumbang lebih RM13,000 kepada Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin yang terletak di Banting, Selangor menerusi Program Tautan Mahabbah.

 

Pusat Perhubungan Alumni UPM dalam kenyataan berkata, sumbangan tersebut meliputi kelengkapan rumah seperti gantian kipas siling baharu, almari pakaian, sumbangan baju raya, duit raya dan juga keperluan asas yang lain. 

 

Katanya, program tersebut merupakan memasuki tahun ketujuh penganjurannya dan kali ni mengetengahkan konsep berkongsi rezeki bersama komuniti yang memerlukan bantuan.

 

"Sumbangan daripada para alumni, individu dan badan korporat ini telah diserahkan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof Madya Dr Arba’ie Sujud kepada Pengasas Rumah Anak-Anak Yatim dan Asnaf As-Solihin, Molyana Mahmud. 

 

"Dengan penyerahan sumbangan ini Pusat Perhubungan Alumni UPM telah melaksanakan sebahagian daripada amanah yang diberikan bagi menyampaikan sumbangan masing-masing untuk diagihkan kepada komuniti dan mereka yang memerlukan," katanya.

 

Dalam pada itu, Arba'ie berkata, pihaknya berjaya mendapat sumbangan yang besar daripada para alumni khususnya alumni UPM, Prof Madya Dr Hamisah Hassan yang mana secara konsisten menjadi penyumbang individu terbesar. 

 

"Sesungguhnya, apa yang diusahakan ini adalah cerminan komitmen para alumn dalam menjayakan misi universiti terutamanya apa yang dihasratkan oleh Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Roslan Sulaiman untuk mengeratkan dan memperkukuhkan jalinan kerjasama antara alumni, komuniti dan universiti," katanya.

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Katanya, pihaknya juga menyasarkan pada masa akan datang program tersebut tidak hanya terhad kepada sumbangan kewangan dan keperluan asas, tetapi juga sumbangan dari segi kepakaran alumni demi manfaat kepada komuniti selaras konsep UPM sebagai sebuah menara ilmu. 

 

"Ini selaras dengan slogan ‘berilmu berbakti’ itu dapat memperlihatkan kecaknaan warga UPM terhadap program yang dijalankan, seterusnya bersama-sama melestarikan dan dimantapkan lagi pada masa akan datang," katanya.

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Secara keseluruhannya, Program Tautan Mahabbah 7.0 akan disusuli dengan Program Mawaddah Ramadan yang lebih memfokuskan kepada pelajar UPM dengan penganjuran Iftar Mega iaitu pemberian pek berbuka puasa secara percuma kepada semua pelajar dan warga UPM. 

 

Konsep berkongsi rezeki itu diseimbangkan antara menyantuni komuniti dan pada masa sama tidak melupakan pelajar UPM itu sendiri yang juga ada dalam kalangan mereka daripada keluarga B40 dan asnaf. - DagangNews.com