KUALA LUMPUR 27 Sept - Purata gaji dan upah bulanan yang diterima oleh rakyat Malaysia pada 2022 meningkat sebanyak 5.8% kepada RM3,212 berbanding RM3,037 pada 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Penengah gaji dan upah bulanan yang diterima rakyat di negara ini pula meningkat 7.7% kepada RM2,424 pada 2022 berbanding RM2,250 pada 2021.
Keadaan ini juga menunjukkan separuh atau 50% daripada pekerja warganegara sepenuh masa menerima gaji dan upah di bawah RM2,424 dan ke bawah.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada 2022, ekonomi global berdepan cabaran ketara, termasuk gangguan rantaian bekalan, lonjakan harga komoditi, krisis tenaga, dan kadar inflasi yang tinggi sebelum menyederhana pada suku tahun keempat 2022.
Katanya, walaupun berdepan dengan krisis ini, Malaysia mencatatkan peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang memberangsangkan, dengan kenaikan sebanyak 8.7%, didorong oleh prestasi kukuh dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan, yang menyumbang sebanyak 82.4% kepada KDNK negara.
"Fasa peralihan ke endemik, pembukaan semula sempadan antarabangsa dan peningkatan dalam industri pelancongan telah mewujudkan lebih banyak permintaan buruh dalam pasaran.
"Kerajaan meningkatkan paras gaji minimum kepada RM1,500 bermula Mei 2022, yang mewartakan gaji bulanan sebanyak RM1,500 untuk pekerja di semua sektor, sebagai langkah yang dijangka akan meningkatkan paras gaji dan upah secara keseluruhan di negara ini berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Daripada jumlah keseluruhan penduduk bekerja seramai 15.39 juta orang yang direkodkan pada tahun lalu, jumlah pekerja sepenuh masa yang dibayar gaji dan upah dalam kalangan rakyat Malaysia adalah seramai 9.95 juta orang.
Mengulas lanjut mengenai situasi gaji dan upah mengikut strata, Mohd Uzir berkata, purata bulanan bagi kawasan bandar dan luar bandar merekodkan peningkatan kepada RM3,351 bagi kawasan bandar dan RM2,393 bagi kawasan luar bandar berbanding 2021.
Secara spesifik, beliau berkata, purata gaji dan upah bulanan bagi kawasan bandar mencatatkan peningkatan sebanyak 5.1%, manakala kawasan luar bandar menunjukkan kenaikan yang lebih ketara secara relatif sebanyak 10.5%.
Mengikut negeri, katanya purata gaji dan upah bulanan menunjukkan bahawa Putrajaya merekodkan purata tertinggi iaitu pada RM4,666.
"Selain itu, empat negeri lain juga melebihi paras purata nasional pada RM3,212, iaitu Kuala Lumpur (RM4,207), Selangor (RM3,737), Labuan (RM3,418) dan Pulau Pinang (RM3,313)," katanya. - DagangNews.com