Pulang semula surat jika tidak guna Bahasa Melayu - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pulang semula surat jika tidak guna Bahasa Melayu - PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan di Cyberjaya pada 25 Oktober 2023. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR 25 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengingatkan jabatan kerajaan untuk tidak melayan atau memulangkan sahaja mana-mana surat yang menggunakan selain bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

 

Berucap merasmikan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan di Cyberjaya, beliau menyedari terdapat sikap yang dirasakan "terlajak"  atau "terpesong" oleh beberapa pihak yang sering kali cuba meninggalkan asas Perlembagaan Persekutuan untuk berhubung dengan jabatan kerajaan dalam bahasa kebangsaan.

 

"Jadi saya ingatkan hal ini, kalau dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan termasuk swasta, arahannya ialah siapa sahaja menulis dalam bahasa lain selain bahasa kebangsaan, surat itu akan dipulangkan. 

 

"Pemerkasaan budaya, bahasa dan sastera itu sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa, jadi jangan kita cuba meremehkan.

 

Anwar berkata tindakan sedemikian tidak akan menjadikan Malaysia "sempit"  kerana kerajaan juga tidak meremehkan penguasaan bahasa Inggeris, Bernama melaporkan.

 

"Ini tidak menjadikan kita sempit, kerana saya sering kali mengingatkan rakan-rakan bahawa saya tidak mungkin diminta mengajar di Georgetown University, Washington DC kalau tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Saya tidak remehkan (penguasaan bahasa Inggeris)," katanya. - DagangNews.com