KUALA LUMPUR 5 April - Public Investment Bank Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dengan harga sasaran tidak berubah pada RM12.42.
Ini berikutan kumpulan telah menyelesaikan pengambialihan 100% kepentingan dalam portfolio tenaga angin dalam pesisir 97.3MW di United Kingdom (UK).
Menurut firma itu, langkah tersebut adalah konsisten dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE).
Malah, katanya, selepas proses pengambilalihan aset baharu ini selesai, kapasiti operasi RE Vantage RE Ltd (Vantage RE), anak syarikat milik penuh TNB akan meningkat 23% kepada 530 megawatt (MW) daripada 433 MW.
"Langkah ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana TNB sudah menyatakan dalam taklimat prestasi kewangannya bahawa kumpulan sedang meninjau beberapa aset baharu di UK yang dijangka pada suku kedua 2022," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : TNB selesai ambil alih 100% kepentingan ladang angin di UK bernilai RM808 juta
Dalam kenyataan semalam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemerolehan strategik aset operasi tambahan itu yang disokong oleh skim subsidi akan membolehkan TNB mendapat manfaat sepenuhnya daripada kestabilan pulangan dan membina daya tahan kewangan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang diburukkan oleh COVID-19.
Portfolio terbaru itu merangkumi ladang angin daratan yang beroperasi di 11 tapak di UK, dibangunkan
di bawah skim subsidi Renewable Obligation Certificate (ROC) dan Feed-in Tariff (FiT), sekali gus
dijangka memberikan pulangan stabil dalam jangka panjang.
Penambahan kapasiti angin daratan ini mempelbagaikan kombinasi teknologi RE Vantage RE yang turut meningkatkan keseimbangan profil portfolio penjanaan tenaga elektriknya sepanjang tahun.
Setakat 12.08 tengah hari ini, harga saham TNB susut 6 sen atau 0.66% kepada RM9.01 dengan 866,900 saham diniagakan. - DagangNews.com








