KUALA LUMPUR 5 Ogos - Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) mencatatkan satu lagi pencapaian apabila mengendalikan 1.11 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) kontena dalam tempoh sebulan pada Julai 2024 tanpa mengalami sebarang kesesakan.
Rekod tertinggi PTP sebelum ini adalah sebanyak 1.07 juta TEU yang dicapai pada bulan Mei 2024.
Sejak itu, lebih sejuta TEU sebulan berjaya dikendalikan PTP untuk tempoh tiga bulan berturut-turut.
Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, kemampuan memecah rekod ini tanpa kesesakan pelabuhan memperkukuhkan status PTP sebagai penghubung yang unik dan bernilai dalam rantaian bekalan global.
Beliau juga menyatakan kepuasannya yang mendalam dengan pencapaian ini walaupun di tengah-tengah persekitaran perkapalan global yang mencabar.
“Dengan menguruskan jumlah kargo yang begitu besar dengan lancar, PTP juga menunjukkan keupayaan untuk terus memberikan perkhidmatan cemerlang kepada pelanggan dan rakan kongsi, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, pencapaian ini sangat bermakna memandangkan prestasi berterusan PTP dalam mengendalikan kontena melebihi satu juta TEU selama tiga bulan berturut-turut sejak bulan Mei tahun ini.
Beliau berkata, usaha PTP dalam mencapai pertumbuhan yang mampan sambil terus berkembang disokong oleh penekanan yang ketara terhadap penambahbaikan aset pelabuhan dan infrastruktur.
"Pendekatan strategik ini telah membolehkan PTP menghadapi cabaran kesesakan pelabuhan global dengan berkesan, sambil membolehkan penambahbaikan dan pengembangan yang berterusan,” katanya.
Beliau juga menyatakan rasa amat berbangga atas pencapaian operasi ini yang melebihi semua rekod sebelumnya.
“Perjalanan kami bukan tanpa cabaran, tetapi cabaran-cabaran yang kami hadapi telah membentuk daya tahan dan azam kami di PTP.
"Asas kejayaan kami terletak pada fokus PTP terhadap pembangunan sumber manusia, teknologi dan proses kami, dengan keselamatan sebagai nilai teras dan berfokuskan pelanggan dalam setiap pendekatan dan keputusan kami.
“Pencapaian ini adalah hasil sokongan kuat daripada pelanggan dan pemegang saham kami, dan, yang paling penting, hasil dedikasi dan komitmen daripada kakitangan kami yang patut berbangga dengan apa yang telah mereka capai,” ujarnya.
Dalam pada tu, kata PTP, kesesakan pelabuhan yang ketara di hampir semua benua dan rantau kini telah menjadi isu global yang kritikal, mengakibatkan kelewatan besar dalam jadual kapal dan gangguan serius kepada rantaian bekalan di seluruh dunia.
"Ini telah menyebabkan peningkatan kos dan tekanan inflasi, yang memberi kesan bukan sahaja kepada pengangkut kontena lautan dan pelabuhan, tetapi juga kepada pengguna akhir.
"Kesesakan ini terutamanya disebabkan oleh serangan militan terhadap kapal komersial, yang dikenali sebagai Krisis Laut Merah, yang memaksa syarikat perkapalan mengalihkan perjalanan kapal melalui laluan lebih panjang mengelilingi Afrika untuk tujuan keselamatan," jelasnya. - DagangNews.com