KUALA LUMPUR 6 Feb - Prudential Malaysia memperkenalkan empat pelan perlindungan baru yang menawarkan nilai perlindungan terbaik bagi lanjutan kedua inisiatif i-Lindung Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pelan-pelan perlindungan yang mampu milik ini disediakan eksklusif untuk ahli-ahli KWSP serta membolehkan mereka untuk melindungi diri dan ahli keluarga melalui simpanan KWSP.
Menurut Prudential Malaysia, ditawarkan dalam dua pilihan iaitu takaful dan konvensional, pelan-pelan perlindugan ini dibangunkan secara lebih terperinci untuk memenuhi keperluan individu dan keluarga pencarum KWSP di samping lebih mudah untuk didaftarkan.
"Untuk mendapatkan pelan perlindungan ini, para ahli hanya perlu daftar masuk ke aplikasi telefon bimbit KWSP i-Akaun, di bahagian Pelan Perlindungan Ahli, pilih pelan perlindungan yang bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi turut merangkumi pasangan dan anak-anak.
"Selanjutnya, bayaran boleh dibuat melalui pemotongan daripada KWSP," kata kenyataan Prudential Malaysia hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: KWSP benarkan ahli guna dana Akaun 2 beli insurans untuk ahli keluarga terdekat

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Berhad, Lim Eng Seong berkata, sejak pelancaran i-Lindung, respons dan permintaan yang diterima bagi pelan-pelan perlindungan KWSP telah mendapat sambutan yang menggalakkan.
"Ramai rakyat Malaysia mahukan pelan perlindungan yang mampu milik serta komprehensif untuk mereka dan insan tersayang, khususnya dalam landskap ekonomi yang mencabar ini.
"Ini telah mendorong kami untuk melancarkan PRUGuard Family dan PRUCare Family. Kini, ahli-ahli KWSP boleh melindungi diri serta keluarga melalui KWSP,” jelasnya.
Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN, Wan Saifulrizal Wan Ismail pula berkata, pelan PruBSN Lindung Famili dan PruBSN Cegah Famili dilihat dapat membantu lebih ramai Malaysia melindungi diri dan keluarga ketika mana kos sara hidup dan penjagaan kesihatan dilihat terus meningkat.
Katanya, sebagai penyedia perkhidmatan insurans dan takaful keluarga terkemuka, Prudential Malaysia amat memahami keperluan untuk menghasilkan pelan-pelan perlindungan bagi mengatasi cabaran ini.
"Seperti yang dilaporkan oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM), rakyat mudah terlepas pandang mengenai kepentingan untuk mendapatkan perlindungan memandangkan ramai yang masih kurang memahami impak risiko kewangan dan kejadian yang tidak diduga.
"Mereka juga beranggapan bahawa insurans adalah mahal dan lebih cenderung untuk melabur simpanan untuk tujuan lain.
"Melalui kerjasama dengan KWSP, kami berharap dengan pelan PruBSN Lindung Famili dan PruBSN Cegah Famili dapat membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk melindungi diri mereka dan ahli keluarga daripada situasi luar jangkaan,” katanya.
Berdasarkan laporan oleh PIDM, kurang daripada separuh rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat dan hanya 54 peratus mempunyai insurans kesihatan.
Trend ini dilihat berterusan sejak lima tahun lepas dan memberikan impak di mana rakyat Malaysia mungkin mengalami kejutan kewangan sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangka.- DagangNews.com








