Proton lancar model SUV X90 di Bangladesh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Proton lancar model SUV X90 di Bangladesh

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Mac - Model SUV Proton, X90, dilancarkan di Dhaka, Bangladesh baru-baru ini, dengan dua varian Flagship enam tempat duduk dan Premium dengan tujuh tempat duduk, ditawarkan kepada pembeli dalam pasaran eksport keempat untuk model itu.

 

Proton memaklumkan, sehingga kini, 25 unit telah didaftarkan dalam tempoh kurang daripada dua minggu selepas pelancarannya.

 

Katanya, bersama-sama dengan Proton X70 yang juga ditawarkan di Bangladesh dan dengan lebih banyak tempahan yang telah disahkan dalam perancangan, pihaknya yakin bahawa Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama mereka dapat mencipta niche pasaran sebelum operasi pemasangan tempatan (CKD) bermula akhir tahun ini. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata, pihaknya yakin Rancon Holdings Bhd adalah rakan kongsi yang sempurna untuk Proton berjaya di Bangladesh. 

 

"Mereka sudah pun menubuhkan rangkaian jualan dan selepas jualan dan akan melabur untuk membina barisan pembuatan untuk memasang kenderaan Proton secara tempatan pada masa hadapan. 

 

"Dengan lebih banyak tawaran dalam perancangan, serta komitmen kami untuk menyokong semua aspek perkongsian, kami menyasarkan untuk menjadi jenama 3 teratas di Bangladesh dalam tempoh tiga tahun," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

 

proton

 

 

Chunrong berkata, komponen penting untuk Proton mencapai sasaran tingginya di Bangladesh ialah penubuhan barisan pemasangan.

 

Beliau berkata, selain daripada membenarkan produknya layak untuk kadar cukai yang lebih rendah, kilang baharu 
juga menggalakkan pembangunan pekerja tempatan mahir sambil membangkitkan ekosistem vendor melalui 
pemindahan teknologi.

 

 

proton

 

 

Katanya, operasi disasarkan bermula seawal 2024, dengan piawaian pengeluaran yang ketat dikuatkuasakan bagi memastikan output sepadan dengan kualiti kenderaan yang dibina di Tanjung Malim. 

 

“Untuk memastikan kualiti produk di pasaran eksport yang dipasang secara tempatan adalah setara dengan kenderaan yang dibina di Malaysia, Proton bersandar pada pengalamannya manggunakan Volvo Global Quality Standard, yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti produk kami.

 

 

proton

 

 

"Kami sedar bahawa terdapat banyak cabaran di hadapan kami untuk mencapai tahap ini dan untuk perkongsian ini mencapai matlamatnya, tetapi kami yakin bahawa bersama rakan kongsi kami, jenama Proton boleh menjadi lekapan utama di Bangladesh," katanya. - DagangNews.com