Prospek Sarawak Plantation dijangka stabil disokong kestabilan pengeluaran buah tandan segar – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek Sarawak Plantation dijangka stabil disokong kestabilan pengeluaran buah tandan segar – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Sept - Prospek operasi Sarawak Plantation Berhad stabil dalam jangka pendek, kata MIDF Research dengan menjangkakan pengeluaran buah tandan segar kekal stabil sepanjang tahun.

 

Dari segi operasi, firma penyelidikan itu berkata program penanaman semula di kawasan utara, serta aktiviti pembajaan yang rendah dijalankan dalam tempoh dua tahun lalu menyebabkan keluasan tanah boleh tuai dan pengeluaran buah tandan segar (BTS) masing-masing menurun tahun ke tahun (yoy) sebanyak 4% dan 12%, menghasilkan BTS sekitar 3.64 tan metrik setiap hektar wajaran (Mt/Wha) dalam suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23).

 

Namun begitu, firma itu berkata pembelian luarannya kekal stabil pada hampir 80,000 tan metrik, mendorong pemprosesan BTS kekal melebihi 134,000 tan metriknya, menyebabkan tahap kadar perahan minyak (OER) kekal baik pada 20.48% pada suku tersebut.

 

“Pihak pengurusan menjangkakan pengeluaran BTS melonjak 2%yoy kepada 336,000 sehingga kahir tahun (sejajar dengan anggaran kami), berikutan isu buruh asing selesai di samping cuaca yang lebih baik dalam tiga suku hingga Oktober (November-Disember biasanya musim hujan di kawasan timur).

 

“Kos pengeluaran, sebaliknya, kini telah berkurangan kepada kira-kira RM2,900 hingga RM3,200 setiap tan metrik berbanding pada awal tahun disebabkan oleh penurunan harga baja dan jumlah pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, Sarawak Plantation terus komited dengan program mekanisasi dalam aktiviti penuaiannya bagi meningkatkan pengeluaran BTS dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

MIDF Research berkata syarikat itu telah memulakan program penyelidikan dan pembangunan (R&D) sebelum pandemik dengan geran bantuan kerajaan sebanyak RM2 juta.

 

Menurut firma itu, sepanjang FY21-FY23, pihak pengurusan telah memperuntukkan RM9 juta (33% daripada purata perbelanjaan modal tahunan) untuk program mekanisasi ini dan telah menerima lima mesin penuaian dan penanaman (daripada 10 mesin) untuk ujian lapangan.

 

“Syarikat itu berhasrat untuk meningkatkan penggunaan mesin ini dalam lima tahun akan datang bagi mengurangkan kebergantungan buruh serta meningkatkan kecekapan penuaiannya daripada purata 2.5 tan metrik sehari kepada 3.5 hingga 4.0 tan metrik sehari untuk mencapai sasaran output BTS tahunan kira-kira 500 hingga 600 tan metrik dalam tempoh tersebut,” tambahnya.

 

MIDF Research mengekalkan unjuran penaptan dan saranan ‘neutral’ dengan harga sasaran (TP) pada RM2.20 sesaham.

 

Setakat pukul 12:19 tengah hari, saham Sarawak Plantation tidak berubah pada RM2.13 dengan permodalan pasarannya bernilai RM596.4 juta.  - DagangNews.com