KUALA LUMPUR 23 Jan - MIDF Research mengunjurkan Samaiden Group Berhad (Samaiden) sebagai antara syarikat kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang bakal menerima manfaat besar daripada pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Negara (NETR).
Menurut firma penyelidikan itu, selain NETR, Samaiden dan syarikat berkaitan tenaga solar juga menerima manfaat daripada prospek pembinaan loji Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP).
"Kami kekalkan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) yang tidak berubah, RM1.54 sesaham. Kami kekal menambat nisbah harga kepada pendapatan (PER) Samaiden bagi FY24 tidak berubah sebanyak 26 kali, sedikit lebih rendah berbanding syarikat peneraju industri, Solarvest.
"Buku pesanan dan kunci kira-kira yang kukuh menyokong potensi pertumbuhan jangka pendek," kata MIDF Research dalam nota kajian hari ini.
Firma itu berkata, selepas mengumumkan perjanjian membina loji solar di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) semalam, Samaiden dijangkakan akan terus meraih kontrak EPCC dengan beberapa prospek utama.
Kata MIDF Research, antaranya projek CGPP berkapasiti 800 megawatt (MW) dan projek 500 MW UEM-Itramas di Johor yang telah dimuktamadkan baru-baru ini.
"Kami menjangkakan kedua-dua projek itu, CGPP dan UEM-Itramas melibatkan prospek kerja-kerja EPCC bernilai RM3.9 bilion hingga RM4.6 bilion yang menambah potensi buku pesanan syarikat dalam tempoh tempoh 12 bulan," katanya.
Mengenai penganugerahan projek loji kuasa solar dipasang di tanah iaitu 50 megawatt (MWac) di KHTP oleh NUR Renewables Sdn Bhd semalam, MIDF Research berkata, projek itu dijangka bermula pada separuh pertama 2024 dan dijangka siap pada Mac 2025.
"Nilai kasar projek ialah RM100 juta dan ia boleh meningkatan buku pesanan kasar kepada 27%, dengan anggaran RM476 juta yang akan membuatkan syarikat itu sibuk untuk tempoh dua tahun akan datang," ujarnya. -DagangNews.com








