KUALA LUMPUR 15 Julai - MARC Ratings mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 5.5% tahun ini di sebalik beberapa ketidaktentuan antaranya impak daripada konflik Rusia-Ukraine yang masih berpanjangan.
Bagaimanapun, unjuran itu adalah lebih rendah berbanding 5.3% hingga 6.3% seperti diunjurkan Kementerian Kewangan sebelum ini.
Menurut agensi penarafan itu, momentum pemulihan pertumbuhan Malaysia sepatutnya berterusan apabila ekonomi dibuka semula, tetapi sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, negara tidak terlepas daripada berdepan tekanan luar.
Katanya, bagi keseluruhan ekonomi, prospek pemulihan akan menghadapi cabaran termasuk impak daripada konflik Rusia-Ukraine.
"Perlu diingatkan bahawa kesan ekonomi secara langsung ekoran konflik Rusia-Ukraine terhadap Malaysia adalah kecil kerana perdagangan dan pelaburan dengan kedua-dua negara ini tidak begitu ketara.
"Bagaimanapun, kami berpendapat bahawa kesan tidak langsung daripada konflik itu, ditambah pula dengan tekanan daripada ekonomi utama lain, akan menjejaskan kedudukan fiskal dan penggubalan dasar Malaysia," katanya dalam nota kajian.

Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan mencapai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.3 hingga 6.3% tahun ini, selari dengan unjuran Tabung Kewangan Dunia (IMF) dan Bank Dunia.
Perkembangan positif itu hadir selepas negara merekodkan KDNK sebanyak 5% pada suku pertama 2022 dengan jumlah perdagangan borong dan runcit dilihat terus meningkat.
MARC Ratings berkata, kadar pengangguran bagi tahun ini juga dijangka berlegar pada purata 4%, berbanding 4.6% pada 2021.
"Meskipun, sudah memasuki tahun ketiga sejak kemunculan COVID-19, kadar pemulihan pasaran buruh masih lembap.
"Ini membimbangkan kerana pemulihan pasaran buruh yang lemah adalah antara punca utama berlakunya parut ekonomi, sekali gus meningkatkan keperluan untuk subsidi yang lebih tinggi pada 2022 dan seterusnya," jelasnya.

Dengan mengambil kira kesesakan rantaian bekalan dan kejutan bekalan yang dicetuskan oleh konflik Rusia-Ukraine, agensi itu turut mengunjurkan kadar purata inflasi tahun ini mungkin akan meningkat kepada 2.7%.
Pada 2021, inflasi berlegar pada purata 2.5% manakala -1.2% pada tahun sebelumnya.
Malah, ia juga menyifatkan kenaikan 2 kali berturut-turut kadar dasar semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bukan sahaja menunjukan tanda-tanda pemulihan ekonomi, tetapi merupakan langkah awal bagi membantu negara menghadapi tekanan luar yang didorong oleh pengetatan monetari global yang belum pernah berlaku sebelum ini.
"Susulan itu, kami menjangkakan kenaikan kadar ini akan berterusan sehingga meningkat mencecah 2.75% pada akhir 2022," tambahnya.
Menurutnya, kelemahan fiskal Malaysia melonjak dengan ketara semasa dua tahun pertama pandemik berikutan pelaksanaan pakej rangsangan berjumlah RM530 bilion.
"Pada 2021, defisit fiskalnya telah meningkat lagi kepada 6.4% daripada KDNK daripada 6.2% tahun sebelumnya. Tetapi, kami untuk tahun ini pada 6.0%, adalah sejajar dengan unjuran kerajaan," katanya.

Agensi itu juga menjangkakan kerajaan tidak akan memperkenalkan sebarang pakej rangsangan susulan peralihan Malaysia kepada fasa endemik.
"Bagaimanapun, kerajaan telah menunjukkan bahawa pendirian fiskalnya akan terus berkembang untuk melindungi kesejahteraan rakyat, kesinambungan perniagaan dan pemulihan ekonomi," jelasnya.
Dalam pada itu, MARC Ratings berkata, kelemahan fiskal dan metrik hutang negara yang berterusan akan menekan penarafan kredit antarabangsanya.
Ini ditambah lagi dengan persekitaran politik dan ketidaktentuan yang telah kembali stabil, tetapi kekal bergolak.
"Ini adalah kebimbangan bagi agensi penarafan kredit kerana kesan buruk yang boleh ditimbulkannya berikutan tindakan terhadap pembaharuan, dan seterusnya, kredibiliti dan keberkesanan institusi dan proses tadbir urus," menurutnya lagi. - DagangNews.com








