KUALA LUMPUR 22 Ogos - Malaysia masih berdepan beberapa faktor negatif terutamanya ekonomi global yang dijangka lemah meskipun negara mempamerkan prestasi perdagangan yang kukuh pada Julai 2022, demikian menurut penganalisis.
Perdagangan pada bulan tersebut berkembang 39.8% kepada RM252.65 bilion berbanding Julai 2021, pertumbuhan dua angka yang ke-18 bulan berturut-turut.
Eksport pula meningkat 38% kepada RM134.07 bilion, pertumbuhan dua angka yang ke-12 bulan berturut-turut, sementara import berkembang sebanyak 41.9% kepada RM118.58 bilion dan lebihan dagangan berkembang 14.3% kepada RM15.49 bilion.
Menurut AmInvestment Bank Research, ketegangan yang semakin memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China berikutan konflik di Taiwan akan memberi impak yang ketara kepada ekonomi global.
Katanya, ini memandangkan China adalah kuasa pembuatan yang dikaitkan dengan ekonomi di seluruh dunia, manakala Taiwan memegang bahagian terbesar dalam pembuatan semikonduktor global.
Selain itu, katanya, susulan langkah bank pusat mengetatkan dasar monetari akan menyaksikan pertumbuhan ekonomi global menjadi perlahan seiring jumlah perdagangan global kerana aktiviti ekonomi global akan dikekang oleh keadaan kewangan yang terhad.
"Bagi tahun ini, kami menjangkakan jumlah perdagangan global akan menurun kepada 3.5% daripada 10.1% pada 2021.
"Ini turut mencerminkan bacaan indeks pengurus pembelian (PMI) bagi pesanan eksport baharu dalam kalangan pengeluar merosot buat kali pertama sejak Mac.
"Beberapa syarikat global seperti Micron Technology, Nvidia Corporation dan Intel Corporation juga telah memberi amaran tentang langkah yang sama ke hadapan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Perdagangan Malaysia berkembang 39.8% kepada RM252.65 bilion pada Julai 2022 - Azmin
Oleh itu, AmInvestment menjangkakan perdagangan luar Malaysia akan melemah beberapa bulan akan datang disebabkan permintaan global yang perlahan.
Pada masa sama, katanya, apabila gangguan rantaian bekalan global bertambah baik, inflasi barangan juga akan berkurangan, mengekang pertumbuhan eksport kasar dan import.
"Dengan mengambil kira faktor ini, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport bagi tahun ini antara 24 hingga 25%," tambahnya.
Data yang dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada Jumaat lalu menunjukkan eksport ke rakan dagang utama khasnya ASEAN, AS, Kesatuan Eropah dan Jepun merekodkan pertumbuhan dua angka, dan eksport ke ASEAN juga mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini.
Namun, berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan, eksport, import dan lebihan dagangan masing-masing menyusut sebanyak 6.5%, 8.2%, 4.5% dan 29.1%.
Sementara itu, MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan eksport dan import tahun ini masing-masing pada 20.9% dan 25.6% di sebalik prestasi yang lebih baik daripada jangkaan pada Julai 2022.
Menurutnya, prospek perdagangan mungkin terjejas teruk oleh pertumbuhan global yang lebih lemah memandangkan risiko penurunan daripada inflasi global yang lebih tinggi, kemungkinan kemelesetan di AS, pemulihan yang lembap dan dasar sifar COVID-19 yang ketat di China serta perang berterusan di Ukraine dan peningkatan ketegangan geopolitik baru-baru ini antara China dan Taiwan.
"Namun begitu, kami meramalkan pemulihan yang berterusan dalam ekonomi global, apabila negara membuka semula ekonomi mereka dan melonggarkan sekatan COVID-19, akan terus memacu permintaan luar untuk barangan perkilangan (iaitu produk elektrik & elekronik dan petroleum ditapis) dan komoditi utama.
"Sementara itu, kami menjangkakan import akan berkembang pada bulan seterusnya apabila momentum dalam ekonomi domestik semakin berkembang menjelang akhir tahun ini," katanya. - DagangNews.com








