Prospek NationGate positif didorong pengeluaran rangkaian produk lebih luas bagi pelanggan utama – Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Prospek NationGate positif didorong pengeluaran rangkaian produk lebih luas bagi pelanggan utama – Kenanga Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 31 Okt - Kenanga Research positif terhadap prospek NationGate Holdings Berhad memandangkan ia sedang mengeluarkan rangkaian produk lebih luas untuk pelanggan utamanya.

 

Sementara itu, barisan pengeluaran perintis xFusion sedang berjalan dengan mantap, membuka jalan untuk pengeluaran besar-besaran dalam suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24).

 

Firma penyeldikan itu berkata kumpulan tersebut menghasilkan rangkaian produk khusus dalam transceiver optik bagi pelanggan utamanya, yang memindahkan pangkalannya dari China ke Pulau Pinang, dengan mengorbankan pembuatan kontrak pelanggan tersebut yang berpangkalan China.

 

“Pada masa ini, pelanggan itu mempunyai penyumberan luar sebanyak 30% daripada pembuatan kontrak kepada NationGate, dengan baki 70% kepada pembuatan kontraknya berpangkalan di China.

 

“Bagaimanapun, ini dijangka terbalik dalam tempoh 18 hingga 24 bulan akan datang. Peralihan ini memerlukan proses pembelajaran dan pemindahan pengetahuan kompleks, yang menjelaskan kelemahan pendapatan sementara dalam tempoh terdekat yang telah diambil kira,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut Kenanga Research, NationGate akan memajakkan kilang Plant 8 (kira-kira 248,000 kaki persegi) kepada pelanggan untuk pemindahannya dari China ke Pulau Pinang, justeru kumpulan itu perlu mendapatkan tanah tambahan bagi menampung peluasan tempahan daripada pelanggan lain.

 

Firma itu berkata, segmen pengkomputeran data pada masa ini menunjukkan tanda-tanda pemulihan tempahan kerana pelanggan memberi tumpuan untuk memuktamadkan pengeluaran model sedia ada sebelum melancarkan model baharu tahun depan.

 

Satu lagi pertumbuhan berpotensi untuk NationGate ialah kemasukan pelanggan pusat data, xFusion, yang merancang untuk memulakan peningkatan secara beransur-ansur pada suku kedua 2024, yang melibatkan proses PCBA.

 

“Secara keseluruhannya, kumpulan itu mengekalkan prospek positif untuk masa depan berikutan ia kini sedang membuka jalan bagi penempatan semula pelanggan, yang akhirnya akan berubah menjadi saluran tempahan besar dengan NationGate muncul sebagai pengeluar kontrak utama.

 

“Tambahan pula, usaha kumpulan itu ke dalam peralatan pusat data melalui xFusion memberikan peluang yang menjanjikan, sejajar dengan peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI),” tambahnya.

 

Oleh itu, Kenanga Research mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham.

 

Pada pukul 10:07 pagi ini, saham NationGate menokok 5 sen atau 4.6% kepada RM1.14 dengan permodalan pasaran bernilai RM2.36 bilion.  - DagangNews.com