KUALA LUMPUR 10 Mac - Prospek tahun kewangan 2023 (FY23) QL Resources Bhd. adalah positif, disokong oleh bahagian Pembuatan Produk Marin (MPM) yang mempunyai peningkatan permintaan hasil laut dan rancangan memperluaskan kilang QL Foods, menurut MIDF Research.
Menurut firma tersebut, pertumbuhan bahagian MPM dijangka melonjak 22% tahun ke tahun (YoY) pada tahun kewangan 2023 (FY2023) berikutan permintaan hasil laut semakin meningkat dan musim memancing baharu awal Mac mungkin akan membantu bahagian itu berkembang lebih jauh.
Bahagian MPM kumpulan tersebut telah mencatat pertumbuhan pendapatan sebanyak 18.3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1.05 bilion pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23).
“Kami percaya bahawa harga makanan ikan akan kekal stabil berikutan permintaan kukuh daripada aktiviti akuakultur dan tiada bekalan tambahan dari Peru semasa musim penangkapan ikan baru-baru ini,” kata firma penyelidikan itu.
Di samping itu, QL Resources merancang untuk memperluaskan kilang MPMnya, QL Foods di Hutan Melintang, Perak dengan pembelian tanah 86 hektar, menurut firma penyelidikan itu, ia akan memenuhi tujuan projek 10 tahun melibatkan produk berasaskan surimi, dengan jumlah belanjawan RM400 juta untuk 5 tahun pertama.
“Pengurusan kumpulan mengganggarkan jumlah perbelanjaan modal sebanyak RM300 juta pada FY23, sejajar dengan anggaran kami sebanyak RM296.2 juta,” katanya.
Firma itu berkata, kilang QL Foods merupakan pengeluar surimi bersepadu menegak pertama di Malaysia, menggunakan ikan laut segar dan mengeksport surimi beku ke luar negara seperti China, Indonesia, Jepun, Singapura, Australia, Hong Kong, Eropah, Brunei dan AS.
Selain itu, kilang serbuk ikan QL Resources juga terletak di Hutan Melintang, di mana ia menghasilkan serbuk ikan sebagai makanan haiwan ternakan dan makanan akuakultur yang dieksport ke pasaran antarabangsa.
Lokasi strategik enam kilang QL Foods itu di Hutan Melintang membolehkannya memperoleh ikan laut segar terus dari kapal nelayan setiap hari dan pada masa ini kadar penggunaan adalah kira-kira 90% dengan tenaga kerja tempatan kira-kira 60%.
Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM6.80. -DagangNews.com








